Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Anjur Kem Hafazan percuma

JOHOR BAHRU - Persatuan Ulama Malaysia negeri ini menganjurkan Kem Hafazan Al-Quran tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada anak yatim dan fakir miskin di Asrama Kebajikan Ar Rayyan, Taman Tampoi Utama, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, bayaran dikenakan sebanyak RM20 sehari meliputi kos makan, minum dan penginapan kepada pelajar luar yang juga bukan penghuni asrama berkenaan.

Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Johor, Mohamad Halimi Kolan berkata, kem berkenaan melatih pelajar menghafaz empat surah iaitu Yasin, As Sajdah, Al Mulk dan Al Insan dan diadakan selama seminggu sempena cuti sekolah.

“Tujuan kem ini adalah mengisi masa cuti persekolahan pelajar terbabit dengan menghafaz surah di dalam al-Quran dan memahami maksudnya sekali gus meningkatkan tahap penguasaan ibadah seperti solat dan kerja fardu kifayah.

“Menerusi penghayatan mendalam pelajar mampu mengambil iktibar mengenai bukti kekuasaan Allah SWT menerusi pelbagai kejadian seperti manusia dan makhluk selain pengajaran daripada kisah nabi terdahulu,” katanya.

Katanya, kem kali ini disertai seramai 24 pelajar lelaki dan dikendalikan lima guru di dua lokasi berbeza dengan menggunakan kaedah pengajaran dikenali al Turba’.

sumber : sinarharian

No comments: