Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 30 March 2012

14 kali sekolah dipecah masuk

PETALING JAYA - Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dekat sini sudah 14 kali dipecah masuk dan dalam kejadian terbaru kelmarin, pencuri sempat melarikan wayar elektrik dari tiga kelas.

Kejadian pecah masuk itu juga turut menyebabkan siling sebuah kelas runtuh berikutan suspek menyelinap melalui siling.

Biro Pembangunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Arifin Mahyudin berkata, kejadian hanya disedari guru ketika sekolah dibuka pada waktu pagi.

“Kali terakhir sekolah ini diceroboh pada cuti semester lalu apabila kesemua kepala paip yang diperbuat daripada besi dikebas,” katanya.

Sepanjang tahun lalu menurutnya, empat komputer, empat set kompresor penghawa dingin telah dilarikan apabila suspek yang menggunakan taktik sama masuk ke dalam bilik guru dan guru besar melalui siling.

“Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat berhubung kesemua siri kejadian pecah masuk yang berlaku, meskipun ada pemantauan dibuat oleh guru dan anggota PIBG pada waktu malam, ia masih tidak dapat membendung gejala ini daripada terus berlaku,” katanya.

Malah tambah membimbangkan menurutnya, penceroboh semakin berani apabila turut menjadikan sekolah sebagai ‘port’ menghidu gam, melepak sambil membuat vandalisme termasuk menulis kata-kata kesat di papan hijau dan merosakkan perkakasan kelas.

“Sekolah agama ini sememangnya tidak mempunyai pengawal keselamatan, meskipun sudah banyak kali aduan dibuat, masih tiada sebarang usaha daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mengadakan pengawal keselamatan di sekolah itu,” katanya.

Arifin berkata, jika keadaan itu dibiarkan dikhuatiri lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung oleh sekolah termasuk guru apabila banyak barangan rosak dan hilang dikerjakan suspek serta kerugian sudah mencecah RM20,000.

sumber : sinarharian

No comments: