Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 24 February 2012

Medan Selera Atas Kubur

CHENOR - Tindakan meluluskan projek pembinaan premis perniagaan bagi mewujudkan Medan Info Desa Kampung Jengka Batu 13 di sini mendapat bantahan segelintir penduduk apabila kerja infrastruktur itu dilakukan atas tapak dipercayai tanah perkuburan lama.

Seorang penduduk, Mohd Shariff Abdullah, 39, berkata, kubur lama itu dipercayai wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan dengan menggunakan batu sungai sebagai batu nisan.

Menurutnya, orang lama dan penduduk veteran me­ngetahui sejarah kewujudan enam kawasan kubur lama di sekitar kampung berkenaan.

“Kami terkejut apabila mendapati kerja pembinaan premis perniagaan dilakukan di tapak berkenaan.

“Malah turut mendukacitakan apabila kewujudan kubur lama ini tidak diendahkan apabila beberapa batu nisan ditolak jentera untuk membersihkan kawasan pembinaan.

“Saya menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan ia bukan kubur lama dan baru sungai ini hanya batu biasa,” katanya kepada Sinar Harian.


Wartakan tapak kubur lama

Mohd Shariff berkata, tapak kubur lama itu bukan kawasan yang mempunyai batu sungai bersaiz besar malah batu sungai di kubur lama tersebut berada dalam kedudukan menghadap kiblat secara berpasangan.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu mewartakan kawasan kubur lama ini dan beberapa tapak lain agar ia terpelihara.

“Terdapat kubur lama di kawasan berasingan turut menempatkan sebuah kubur dikatakan waris kerabat.

“Kubur ini dipagar pada 14 Ogos 1981 oleh pihak Muzium Negara namun penjagaannya dihentikan pada 1992,” katanya.


Paid sahkan sebagai kubur lama

Pegawai Agama Islam Daerah (Paid) Chenor, Abdul Zaki Md Zain berkata, hasil siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi dan penduduk, pihaknya mengesahkan kesahihan kewujudan kubur lama itu selain berdasarkan kedudukan batu nisan ditanda dengan batu
sungai.

Menurutnya, kubur lama itu dipercayai wujud sebelum zaman penjajahan komunis dan usaha mewartakan ia sebagai tapak warisan akan dilakukan.

“Pihak jawatankuasa masjid diminta untuk mengemukakan permohonan bagi tujuan tersebut melalui Pejabat Agama Islam Chenor sebelum dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

“Ia termasuk bagi kawasan lain yang dipercayai menempatkan beberapa kubur lama,” katanya.

Abdul Zaki berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran turut meminta pihaknya mendapatkan hitam putih daripada Muzium Negara mengenai sebuah kubur lama dipercayai kubur kerabat untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, ia ekoran tanah yang menempatkan kubur lama itu adalah hak milik persendirian.


Kerja pembinaan dihentikan serta-merta

Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh berkata, sebarang kerja pembinaan premis perniagaan itu dihentikan serta-merta sebaik mendapat aduan berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, projek berkenaan akan dipindahkan ke satu tapak baru yang sudah dikenalpasti dan perkara itu berjaya diselesaikan secara baik membabitkan semua pihak terlibat.

Sumber ; Sinar Harian

No comments: