Partime Job

Friday 24 February 2012

Amaran Kepada Peminat Hamster

SUNGAI BERUA – Penternak dan peminat hamster dipercayai terdedah dengan risiko dijangkiti penyakit air kencing tikus atau lebih dikenali sebagai Leptospirosis.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat meminta pihak berwajib terutama Kementerian Kesihatan membuat pemantauan terhadap ternakan jenis tikus itu yang banyak terdapat di seluruh negara.

“Mereka di luar sana perlu diberi penjelasan secukupnya berhubung hamster atau spesies tikus ini kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada peminatnya.

“Saya turut berharap, Kementerian Kesihatan mengambil langkah drastik dan melaksanakan peraturan tertentu kerana haiwan berkenaan kini semakin digilai untuk dipelihara terutama anak-anak kecil.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jalinan Murni Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Berua di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua di sini semalam.

Hadir sama, Koordinator Projek Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Muhammad Abdul Razak Abdullah, warga SK Sungai Berua serta ketua-ketua jabatan kerajaan terlibat.

Sementara itu, beliau yang juga Adun Telemong menasihati orang ramai terutama Dun berkenaan menggunakan air yang disalurkan Syarikat Air Terengganu (Satu) dan elakkan penggunaan air sungai serta bukit.

“Saya yakin semua rumah di Dun ini telah sampai bekalan air daripada Satu dan gunakan kemudahan yang diberikan walaupun sebelum ini kerap menggunakan air sungai atau bukit dalam kehidupan seharian mereka.

“Kita bimbang masalah penyakit Leptospirosis berulang dan mengancam nyawa penduduk,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 100 murid SK Sungai Berua dan 88 keluarga, masing-masing menerima bantuan daripada Yayasan 1MDB berupa pakaian seragam sekolah serta wang saku bernilai RM100 setiap seorang dan sekotak makanan seperti keperluan dapur dan ubat-ubatan.

Sumber ; Sinar Harian

No comments: