Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 27 February 2012

Mayat Ditemui Dalam Longkang


GURUN - Siapa sangka kerunsingan keluarga terhadap seorang bekas penjual sayur, yang meninggalkan rumah tanpa khabar sejak tiga hari lalu dikejutkan dengan penemuan mayatnya dalam longkang sedalam 2.1 meter, kelmarin.

Mayat Song Lai Kim, 72, ditemui Pasukan Rondaan Sukarela Gurun (GST) dalam longkang sedalam 2.1 meter, Jalan Alor Setar-Sungai Petani berhampiran Perwaja Steel kira-kira jam 11.45 malam kelmarin, ketika rondaan dilakukan bagi mengesan jejaknya yang meninggalkan rumah tanpa khabar sejak Rabu lalu.

Anak mangsa, Song Hooi Hong, 43, berkata, Lai Kim dikatakan keluar dari rumahnya di Taman Suria di sini, pada Rabu lalu kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik, dia menyangka Lai Kim keluar berjumpa rakan seperti hari kebiasaannya.

“Namun, kami sekeluarga pelik kerana bapa tidak pulang ke rumah sehingga jam 5 pagi keesokan harinya.

“Saya berasa tidak sedap hati dan terus menghubungi bapa. Tetapi dia tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat hingga kami tidak dapat hubunginya lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian­, kelmarin.

Hooi Hong berkata, mereka sekeluarga kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Gurun pada Khamis lalu setelah seharian Lai Kim tidak pulang ke rumah.

“Setelah itu, saya meminta pertolongan rakan dari GST untuk membuat rondaan mencari bapa, malam ini (malam kelmarin). Saya nekad untuk mencari bapa sama ada kami menemuinya hidup atau mati.

“Saya dan anggota GST bersama-sama meronda dari Pekan Gurun hingga ke Perwaja sebelum salah seorang daripada kami menemui mayat bapa kira-kira jam 11.45 malam selepas 10 minit keluar melakukan rondaan,” katanya.

Presiden GST, Tang Hang Por, 58, berkata, dia bersama anggota lain membuat rondaan­ dari Pekan Gurun hingga ke Perwaja Steel dan dia tergerak hati untuk berhenti di longkang terbabit dan menjenguk ke dalamnya.

“Saya terkejut apabila mendapati ada mayat dalam longkang itu bersama motosikalnya­. Saya kemudiannya memberitahu Hooi Hong untuk mengesahkan sama ada mayat terbabit bapanya atau tidak.

“Dia mengesahkan bahawa mayat itu bapanya dan kemudiannya kami menghubungi polis,” katanya.

Hang Por berkata, pihak polis kemudiannya membawa mayat Lai Kim ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas ketika melalui Jalan Alor Setar-Sungai Petani di Perwaja Steel, sebelum terhumban dalam longkang terbabit.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa cedera parah akibat patah tulang pinggang belakang dan dipercayai mangsa mati melebihi tempoh 24 jam,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments: