BUTTERWORTH: Seorang remaja perempuan dirayu pulang ke pangkuan bapa dan adik-beradiknya yang lain selepas menghilangkan diri lebih sebulan lalu.
Nur Amira Abu Bakar, 15, yang menghilangkan diri sejak 10 Januari lalu diharap kembali ke sekolah seperti biasa kerana tahun ini remaja itu bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Bapanya, Abu Bakar Bidin, 51, berkata, dia buntu selepas usaha mengesan anak bongsunya itu tidak berhasil termasuk dengan mendapatkan maklumat daripada rakan rapatnya di sekolah.
Menurutnya, dia bimbangkan keselamatan anaknya itu dan turut merinduinya kerana Nur Amira manja dengannya.
Katanya, kehilangan anaknya itu amat dirasai bukan saja oleh dirinya, tetapi adik-beradik yang lain serta ibu tirinya.
“Saya ada penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi dan menyebabkan usaha untuk mengesan Nur Amira agak terbatas.
“Dua anak lelaki saya banyak membantu usaha mengesan adik bongsu mereka itu kerana bimbang dengan kehilangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manis, di sini semalam.
Nur Amira, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Inderawasih, di sini, didakwa tidak pulang ke rumahnya selepas pulang dari sekolah pada 10 Januari lalu.
Difahamkan, dua rakannya mendakwa mereka ada menghantar Nur Amira ke stesen bas, di sini, selepas waktu sekolah sebelum Nur Amira membeli tiket dan menaiki sebuah bas ekspres dipercayai menuju ke Ipoh, Perak.
Nur Amira dikatakan sempat menukar pakaian sekolahnya dengan pakaian yang dibawanya di tandas stesen bas berkenaan.
Menurut Abu Bakar, dia tidak tahu punca sebenar menyebabkan anaknya itu sanggup bertindak demikian kerana semua ahli keluarga yang lain amat menyayanginya.
Katanya, antara mereka tidak ada sebarang perselisihan faham kecuali dia pernah beberapa kali bertindak menegur anak perempuannya itu kerana kerap keluar waktu malam.
“Sebenarnya perangai dia berubah secara tiba-tiba sejak Januari tahun lalu apabila menjadi liar, suka melawan dan tidak mendengar nasihat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui mengenai Nur Amira diminta menghubungi saya di 019-4131639 atau 013-4071327 atau balai polis terdekat,” katanya.
Sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment