Partime Job

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Tuesday, 4 September 2012

Air sungai kembali hitam


SUNGAI BULOH - Pencemaran sungai yang hitam dan berbau busuk di sepanjang laluan Sungai Buloh-Jalan Sasaran melibatkan Kampung Parit Mahang dan Bagan Sungai Buloh, di sini masih belum menemui titik noktah apabila mereka masih berdepan isu terbabit sehingga kini.

Nelayan, Kahar Buntal, 60, berkata, jika sebelum ini masalah terbabit pernah disiarkan di dalam akhbar tempatan, air sungai yang dahulunya hitam dilihat semakin pulih namun sejak seminggu lalu air kembali berminyak dan likat.

Menurutnya, bau busuk semakin menusuk hidung dan air tercemar kembali menghantui lebih 400 nelayan di Bagan Sungai Buloh sehingga mereka mendakwa menyebabkan punca pendapatan mereka terjejas melalui kebun kerang dan hasil laut yang kian pupus.

“Masalah seumpama ini masih belum berakhir meskipun banyak kali disiarkan di dada media, malah isu pencemaran sungai ini dilihat seolah-olah perkara kecil oleh agensi berkaitan dan diperlekehkan begitu sahaja sedangkan memberi kesan kepada nelayan.

“Ramai pekebun kerang mengadu dan merungut melihat hasil kerang di 30 lot kebun kerang semakin hari semakin terjejas selain bimbang kesan toksik sisa kumbahan perindustrian yang tidak dikawal dengan lebih awal akan mencemarkan anak kerang yang membesar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kahar berkata, nelayan di sini tidak mahu dituduh menjadi pembunuh gara-gara menjual hasil kerang beracun dan hanya kerana segelintir pihak memejamkan mata demi mengaut keuntungan, nelayan yang bergantung 100 peratus hasil laut menerima akibatnya.

“Bukan itu sahaja, bahkan pencemaran sungai yang disertai sampah sarap menyebabkan hasil sepanjang muara sungai seperti ketam, udang, ikan siakap, ikan sembilang dan ikan bawang kian pupus,” katanya.

Sebelum ini katanya, pihaknya pernah mengutarakan masalah sama kepada pihak berkaitan pada 24 Julai lalu dan beberapa agensi terlibat ada turun padang melihat sendiri pencemaran terbabit, namun sehingga kini tiada perkembangan positif.

“Saya amat berharap semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan di bawah Kerajaan Persekutuan dapat berganding bahu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

sumber : sinarharian

Remaja Palestin jadi Datuk Bandar selama 2 bulan


GENTING GAZA - Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di Palestin diberi peluang untuk menjadi Datuk Bandar Allar yang dihuni lebih 8,000 penduduk selama dua bulan selepas terpilih di bawah program pendidikan di negara itu.

Bashaer Othman turut menyimpan cita-cita untuk menjadi pemimpin di Palestin pada masa hadapan.

Remaja berjiwa besar itu juga turut menghadiri mesyuarat dan berucap di hadapan umum serta menandatangani projek pembangunan di bandar Allar tersebut sejak mula memegang jawatan terbabit hampir sebulan lalu.

"Saya mahu melakukan pembaharuan dengan menubuhkan unit pertahanan awam. Selain itu, saya juga berhasrat untuk menaik taraf perpustakaan," katanya.

sumber : sinarharian

Pesara terkilan guna Internet 14 hari, terima bil RM273.95


KANGAR - Terkilan dan tidak berpuas hati, itu luahan seorang pesara kakitangan kerajaan apabila dia dikehendaki membayar sejumlah bil kepada sebuah syarikat telekomunikasi.

Eniom a/l Endin Sing, 59, berkata, dia kecewa setelah dikehendaki membayar bil lebih RM200 walaupun hanya menggunakan perkhidmatan Internet terbabit kira-kira 14 hari.

Menurutnya, dia menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit sejak 40 tahun lalu dan tidak pernah mengalami masalah seperti itu sebelum ini. Namun, setelah dia bersara dan berpindah ke Kok Klang Mei lalu penggunaan Internet di kediamannya sering kali terputus melebihi 10 hari.

"Sebelum ini perkhidmatan Internet terbabit didaftarkan di atas nama anak perempuan saya, namun sebelum berpindah ke Kok Klang, saya menukarkan nama pendaftaran terbabit kepada nama saya.

“Akhir bulan Mei saya hanya sempat menggunakan Internet selama tiga hari sahaja, selepas itu saya tidak boleh menggunakannya langsung.

“Saya ke syarikat terbabit lebih empat kali dan membuat aduan menggunakan telefon sebanyak tiga kali, namun masalah ini masih berlaku sehingga kini. Disebabkan saya tidak menggunakan perkhidmatan itu saya mengambil keputusan untuk tidak membayarnya, " katanya.

Eniom berkata, setelah membuat aduan Mei lalu, kakitangan syarikat terbabit datang dan melakukan pemeriksaan. Dia kemudiannya dimaklumkan berlaku kerosakan di tiang telefon.

Menurutnya, apa yang mengecewakannya lagi dia hanya sempat menggunakan perkhidmatan Internet terbabit selama 10 hari sahaja, kemudiannya ia tidak boleh digunakan sehingga kini setelah syarikat terbabit menamatkan perkhidmatan itu kerana dia tidak menjelaskan pembayaran bil.

“Saya bukanya tidak mahu menjelaskan bil, tetapi saya hanya menggunakan perkhidmatan terbabit hanya tiga hari, namun bil yang sampai ke tangan saya lebih RM100.

“Yang terbaru saya baru menerima bil sebanyak RM273.95, jika dikira kembali saya baru menggunakan perkhidmatan terbabit lebih kurang 14 hari. Baru-baru ini semasa saya ke syarikat terbabit mereka berjanji untuk memberi saya rebat," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya rebat yang dijanjikan tidak ditunaikan apabila dia dikehendaki membayar bil seperti yang tertera dalam surat yang diterimanya sebelum ini.

sumber : sinarharian

Keluarga Ibrahim Pendek dapat perhatian Seniman


MELAKA – Anak kepada seniman Allahyarham Ibrahim Pendek terharu apabila pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan terhadap keluarganya.

Anak kelima arwah, Aidid Ibrahim, 33, berkata, setakat ini keluarganya menerima kunjungan pelbagai pihak.

“Sebelum ini, mungkin ramai yang tidak mengenali saya dan ahli keluarga lain.

Saya amat menghargai jasa individu penting yang banyak membantu kami.

"Antaranya, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Zainal Abu.

“Tanpa bantuan mereka, kehidupan kami sekeluarga mungkin lebih teruk berbanding kini,” katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Biro Kebajikan dan Kesenian Pemuda Umno, di gerai jualan miliknya di sini, petang kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Biro Kebajikan dan Kesenian Pemuda Umno, Jamawi Jaafar dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Sebelum ini, kehidupan Aidid dan tujuh beradik lain yang tinggal bersama ibunya, Asiah Othman, 57, di Tanjung Kling, di sini, serba kekurangan.

Ia berikutan rumah didiami mereka sudah uzur dan tanah itu milik orang selain kehadiran adik beradik yang sudah berumahtangga serta tinggal bersama.

Sementara itu, Zed Zaidi berkata, pihaknya akan memberikan perhatian berterusan terhadap kebajikan keluarga Allahyarham termasuk mengemukakan surat sokongan mengenai masalah berkaitan.

sumber : sinarharian

Terkejut nampak ‘pocong’ dalam sungai


ALOR GAJAH - Bungkusan putih menyerupai bentuk pocong dengan empat ikatan sempurna yang dicampak ke dalam sungai mengejutkan tiga tukang mesin rumput di Jalan Paya Mengkuang- Kuala Sungai Baru, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, selepas usaha mengesahkan pembuangan yang disangka mayat itu mendapati, ia adalah sampah bunga-bungaan yang dibungkus dalam sehelai kain batik dipercayai salah satu ritual keagamaan.

Kejadian itu disedari kirakira 11.45 pagi oleh seorang tukang mesin rumput warga Bangladesh, Rufiq, 20, bersama dua lagi rakan sekerjanya yang sedang berehat di bawah sebatang pokok terletak kira-kira 10 meter dari sungai berkenaan.

Menurutnya, pada awalnya dia mengesyaki bungkusan 'pocong' itu adalah mayat yang dibuang sebegitu sahaja.

"Saya dan rakan mendapati bungkusan itu masih bersih seolah-olah baru dibuang.

"Kemudiannya penyelia sebuah ladang di sini datang dan melihat sendiri bungkusan itu yang dicampak berdekatan tebing sebelum menghubungi polis," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pegawai Syarak Negeri Melaka, Datuk Abu Khir Jamaluddin ketika berkata, ia dipercayai salah satu amalan syirik yang masih lagi diguna pakai.

"Segelintir penganut sesetengah agama di negara ini berpendapat ia adalah satu ritual menghalau hantu dan buang sial yang lebih sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Ia bertentangan apatah lagi mendatangkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat moden ketika ini,” katanya.

sumber : sinarharian

Tumbuk adik kerana periuk


KUALA TERENGGANU – Seorang abang bukan sahaja tergamak meminta semula periuk yang pernah dihadiahkan kepada adik perempuannya sempena hari perkahwinan 15 tahun lalu, namun lebih menyedihkan dia sanggup bertindak menggunakan kekerasan apabila adiknya enggan memulangkan semula hadiah berkenaan.

Dia yang bekerja sebagai tukang besi itu mencederakan mangsa dengan menumbuk dahi, badan dan dada selepas naik angin apabila mangsa berdegil tidak mahu memulangkan periuk tersebut atas alasan tertentu.

Mustafa Said, 40, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM500 atau seminggu penjara jika gagal menjelaskan denda itu oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman tersebut selepas bapa kepada dua anak itu mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya, Fadilah, 35, di halaman rumah di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, di sini, kira-kira jam 7 petang, 29 Ogos lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa.

Terdahulu dalam rayuannya, Mustafa merayu mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan perlu menanggung ahli keluarga, termasuk dua anak yang masih kecil serta seorang ibu yang sedang sakit dan mendakwa telah insaf atas perbuatannya itu.

Berdasarkan fakta kes, Mustafa naik angin lalu menumbuk dahi, badan dan dada adiknya selepas mangsa tidak mengendahkan permintaannya supaya adiknya itu memulangkan semula periuk yang dihadiahkannya, ketika perkahwinan mangsa kira-kira 15 tahun lalu.

Selepas mencederakan adiknya, Mustafa kemudian meninggalkan rumah berkenaan dan mangsa yang bimbang kejadian sama berulang, membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, di sini.

sumber : sinarharian

Durian semurah RM3 sebiji


PENGKALAN BERANGAN - Musim durian di Mukim Jerung menyaksikan penduduk tempatan mengambil kesempatan mendirikan gerai di lokasi strategik di tepi-tepi jalan raya di beberapa kawasan kampung.

Pendek kata, musim durian di mukim berkenaan memberikan rezeki lumayan kepada peniaga raja buah itu termasuk pemilik dusun durian dan difahamkan musim buah durian gugur kali ini juga tidak serentak dan berperingkat.

Seorang pemilik dusun, Salleh Mat Hasan, 74, memberitahu, durian diperoleh dari kawasan itu berbeza dengan buah dari luar negeri ini, begitu juga di daerah berdekatan seperti Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu kerana corak kulitnya juga berlainan.

Bagaimanapun menurutnya, musim buah durian gugur tetap berlaku dalam tempoh sama iaitu pada penghujung tahun bermula Ogos hingga Disember pada setiap tahun, dengan berperingkat-peringkat mengikut lokasi kampung masing-masing.

“Selain setiap kawasan mempunyai bentuk dan corak duri yang berbeza-beza dengan kawasan yang lain seperti duri yang jarang, panjang, pendek, rapat dan sebagainya, durian di Mukim Jerung adalah yang termurah dan mempunyai isi yang tebal.

“Malah dengan hanya RM3 sebiji malah lebih murah daripada itu, penggemar raja buah itu boleh makan sepuas hati mereka. Tidak rugi kerana isinya setanding buah durian yang dijual di Pasar Kedai Payang pada harga RM10 satu kilogram,” katanya.

sumber : sinarharian

Makan gaji vs kerja sendiri: Tidak minat makan gaji

kalo diberi pilihan dan cukup modal.. tentulah pilih kerja sendiri..


PEKAN – Pulangan keuntungan lumayan serta minat yang bersungguh-sungguh dalam bidang perniagaan menjadikan Syed Mohammad Faiz Azzemmant, 25, tidak pernah terfikir untuk memegang status ‘makan gaji’ seperti orang lain.

Bagi pemuda kelahiran Pekan ini, kelebihan sebagai ahli perniagaan berjaya yang dimiliki oleh ibunya, Jamaliah Ismail, 48, wajar diwarisi bagi mengecapi kepuasan dalam bekerja.

Menurutnya, memang sukar untuk membina kerjaya sebagai ahli perniagaan di usia yang terlalu muda namun keazaman yang tinggi membawanya ke puncak kejayaan yang tidak pernah terbayang oleh dirinya sendiri.

“Selepas tamat belajar, saya rajin mengikut ibu menghadiri majlis keramaian atau berkaitan perbincangan perniagaan bagi memastikan diri serasi dengan suasana di samping mengenali ahli-ahli perniagaan yang berjaya.

“Melalui pendedahan yang diterima, saya mengutip pengalaman dan tunjuk ajar yang diberikan oleh mereka selain mempelajari selok-belok dunia perniagaan yang penuh dengan cabaran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Alaf Maju Berhad kini, Syed Mohammad Faiz berkata, pengalaman jatuh bangun beliau sepanjang beberapa tahun lalu bergelar ahli perniagaan muda di dalam bidang perladangan.

“Mungkin ramai yang berminat dengan kerja makan gaji terutamanya sebagai kakitangan kerajaan, tetapi saya memandang ia sebagai satu cabang rezeki untuk golongan yang mahu berkhidmat tanpa perlu memikirkan pelbagai risiko seperti cabaran dan kerugian,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima adik beradik ini, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat sesuatu keputusan berkaitan perniagaan yang dijalankan namun proses berkenaan membantunya mengasah ketajaman fikiran serta lebih arif dalam membuat penilaian.


Minat kerja kebajikan

Selain menguruskan perniagaan, Syed Mohammad Faiz turut gemar menyertai aktiviti kebajikan dan minatnya itu disalurkan melalui NGO yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu iaitu Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP).

Menurutnya, PAKP telah mencecah lebih 1,500 ahli termasuk rakan ahli niaganya yang berminat untuk bersama-sama memberi sokongan kepada kerja kebajikan yang dilakukan.

“Sokongan daripada rakan niaga termasuk sumbangan yang dihulurkan melancarkan lagi usaha yang dilakukan persatuan ini sekali gus mencapai misi membantu golongan yang memerlukan.

“Kami sering menganjurkan majlis atau aktiviti berbentuk santai dan di kawasan terpilih khususnya luar bandar bagi menyampaikan bantuan serta menghargai anggota masyarakat yang kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik,
warga emas serta anak yatim selain membantu mengajukan sesuatu masalah yang dialami oleh ahli kepada pihak berkenaan bagi memastikan nasib ahli terbela dengan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, PAKP dari semasa ke semasa giat menggapai sasaran dengan menyeru lebih ramai belia khususnya anak jati negeri Pahang menyertainya.

“Selain berbakti kepada masyarakat, saya juga mahu melihat anak bangsa mencipta kejayaan melalui usaha yang dilakukan sekali gus mengangkat martabat kita di dalam bidang ekonomi dan perniagaan melalui perancangan yang dirangka.

“Bantuan demi bantuan diberikan bagi memastikan mereka yang berminat dapat berkongsi ilmu dan menjadikan pengalaman saya sebagai landasan untuk mereka meraih gelaran usahawan berjaya,” katanya.

Beliau berharap agar lebih ramai belia mendedikasikan hidup mereka dalam setiap usaha yang dilakukan dan tidak cerewet dalam melaksanakan pekerjaan walaupun terpaksa bermula dari bawah.

“Secara peribadi, bagi saya kehidupan yang berjaya kini bukan hanya bergantung pada sijil, diploma atau Ijzah yang dimiliki, tetapi usaha yang bersungguh-sungguh serta tidak mudah berputus asa dalam melaksanakan sesuatu perancangan adalah kunci sebenar kepada kejayaan.

“Jika kita malas berusaha, maka akal fikiran serta kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada diri tidak akan berfungsi sewajarnya sekaligus meletakkan kita di dalam golongan manusia yang rugi,” katanya.

sumber : sinarharian

Hasrat mahu melancong terkubur


KUANTAN - Hasrat seorang pekerja am rendah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk melancong ke Indonesia bersama rakan setugas tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan KuantanPelabuhan, berhampiran Sungai Karang Darat, dekat sini, pagi semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Wan Rohaini Wan Ishak, 54, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Indera Mahkota 1 ke tempat kerja di Balok disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda lalu terjatuh menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Adik tiri mangsa, Norizan Mamat, 43, berkata, dia mendengar arwah bercakap tentang rancangannya untuk melancong ke Indonesia bersama rakan sekerja sebelum turun dari rumah untuk ke tempat kerja, pagi semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa mangsa sepatutnya berangkat ke Indonesia pada 9 September ini bagi mengikuti kunjungan bersama kakitangan MPK melalui inisiatif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan difahamkan tiket penerbangan ke sana juga sudah dibeli pihak berkenaan.

“Sebelum arwah keluar ke tempat kerja pagi tadi (semalam), saya ada mendengar dia bercakap dengan suami di luar rumah meminta kami mengeluarkan wangnya dalam akaun sebanyak RM1,000 untuk dibawa ke Indonesia namun saya tidak sempat menemuinya ketika itu,” katanya ketika ditemui Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, semalam.

Norizan berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas diberitahu oleh seorang rakan sekerja kakaknya itu yang datang rumah namun tidak dimaklumkan mengenai keadaan mangsa ketika itu.

“Saya terkejut apabila diberitahu bahawa arwah sudah tiada sejurus tiba di rumah mayat HTAA. Walaupun terkilan dengan kejadian yang menimpanya namun kami tetap reda.

“Arwah seorang yang sangat ramah dan periang justeru disenangi semua ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd jasmani Yusoff ketika dihubungi pemberita petang semalam mengesahkan menerima laporan berhubung nahas tersebut.

Menurutnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

sumber : sinarharian

Berang tak dapat kunci asrama, penuntut Unisel mengamuk


BESTARI JAYA - Gara-gara tidak berpuas hati dengan alasan ‘server down’ yang diberikan, seorang penuntut Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, di sini mengamuk dan menendang pintu masuk pejabat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) di Dewan Biru sehingga pecah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seorang penuntut yang datang ke pejabat untuk sesi pendaftaran kunci asrama bertindak di luar kawalan apabila tidak menerima alasan agar memintanya pulang sementara menunggu sistem kembali pulih.

Seorang eksekutif pengurusan JNSB, Norrashikin Mat Juperi berkata, dia tidak menyangka penuntut terbabit akan bertindak sedemikian rupa sehingga sanggup menendang pintu masuk pejabat yang diperbuat daripada kaca itu sehingga pecah.

“Mungkin penuntut terbabit marah dan bengang tidak dapat kunci masuk asrama memandangkan pihak kami tidak boleh membuat pendaftaran kunci asrama seperti yang diminta berikutan ‘server down’ dan kesemua rekod serta dokumen penting di dalam sistem terbabit.

“Penuntut kena faham situasi ini dan kita sebagai pekerja JNSB tidak boleh sesuka hati membuat pendaftaran secara manual memandangkan bimbang berlaku pertindihan nama dan kekeliruan data sekali gus menimbulkan masalah kepada rekod sedia ada,” katanya.

Disebabkan tindakan luar jangka itu katanya, kira-kira 10 pekerja JNSB yang ada di dalam pejabat bimbang untuk keluar atau rehat di kawasan kafe berhampiran dan membuat laporan di Balai Polis Bestari Jaya selepas kejadian.

“Saya dan pekerja lain takut untuk keluar dari pejabat atau ke kawasan parkir kereta berikutan bimbang jika penuntut terbabit mahu membuat sesuatu yang tidak dijangka kepada kami akibat tidak puas hati.

“Sebenarnya masalah ‘server down’ ini tidak akan berlaku jika pembayaran tunggakan hutang dapat dilunaskan kepada pihak syarikat sekali gus bil utiliti termasuk bil Internet, talian telefon dan lain-lain dapat dibayar mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Saya kecewa dan sedih kerana pekerja JNSB yang terpaksa menanggung semua akibat dari segi pembayaran gaji dan masalah berdepan dengan penuntut sehingga berlakunya tindakan luar jangka itu,” katanya yang cukup kesal masalah pembayaran gaji masih menemui jalan buntu.

sumber : sinarharian

Susulan pelajar maut: SMS terakhir dari Moscow


DUNGUN – “Sebelum kemalangan, arwah sempat menghantar khidmat pesanan ringkas kepada saya memaklumkan dia sudah selamat tiba di Moscow.

"Namun, sebaliknya pula berlaku apabila dia menemui ajal ketika dalam perjalanan dari Moscow menuju ke universitinya."

Demikian kata Mohd Shah @ Abdullah Salleh, 62, bapa kepada arwah Hanisah, pelajar perubatan yang maut dalam kemalangan di Rusia.

Mohd Shah ketika ditemui di rumahnya dekat sini berkata, arwah sebelum ini pulang bercuti sempena sambutan Aidilfitri dan kembali ke Moscow pada 2 September lalu, sehari sebelum tragedi menimpanya.

Mohd Shah berkata, semasa menghabiskan cutinya selama dua bulan itu, arwah yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik kelihatan begitu gembira selain amat manja dengan bapanya.

Katanya, perubahan tingkah laku anaknya itu tidak dianggap satu petanda memandangkan pelajar perubatan di universiti Nizhny itu memang suka bermanja dengan bapanya.

Mohd Shah berkata, kali terakhir dia bertemu anak bongsunya itu ketika menghantarnya untuk menaiki kapal terbang di lapangan terbang KLIA, 2 September lalu.

“Sebelum dia masuk ke bilik pelepasan, arwah beberapa kali melambai ke arah kami.

“Sebaik sampai di Moscow, dia sempat menghantar pesanan ringkas memaklumkan sudah selamat tiba, tak sangka itu berita terakhir daripadanya,” kata pesara Tenaga Nasional Berhad itu.

Ibu mangsa, Rokayah Mohd, 61, yang masih sugul dengan pemergian arwah berkata, dia mengetahui berita menimpa anak kesayangannya itu apabila didatangi seorang Pegawai Mara di rumahnya kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Dia yang baru tiba dari Kuala Lumpur selepas menghantar arwah di lapangan terbang seolah tidak percaya tragedi yang menimpa bekas pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu itu kerana mereka baru bertemu tidak sampai 48 jam lalu.

“Apabila ada pegawai Mara datang, mak cik rasa tak sedap hati dan tanya apa yang berlaku, anak saya mati kemalangan ke?

“Setelah diberitahu Hanisah maut dalam nahas, mak cik tidak percaya kerana baru sahaja kami bertemu di lapangan terbang,” katanya.

Mangsa bersama tujuh lagi yang lain dalam perjalanan menaiki sebuah van dari Moscow menuju ke bandar Nizhny sebelum van dinaiki terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Jenazah mangsa dijangka tiba di tanah air kira-kira lima hari lagi dan urusan berkenaan sedang diuruskan pihak Wisma Putra.

sumber : sinarharian

Kemalangan lima kenderaan


SUNGAI TERAP - Kegembiraan sekeluarga yang dalam perjalanan pulang dari Taman Tema Genting Highland berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di KM55.5 Jalan Klang-Teluk Intan, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang pemandu dan anaknya maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandu dari arah Kuala Selangor menuju ke Tanjong Karang cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan melalui garisan pembahagi jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad, pemandu, Gan Han Siong, 28, dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian kanan belakang kereta jenis Proton Satria di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda City melalui jalan itu pada masa sama.

“Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu Han Siong berpusing dan kemudiannya melanggar sebuah motosikal yang ditunggang bekas kakitangan Agrobank, Mohd Amir Sarif, 65, yang ketika itu dalam perjalanan dari Tanjong Karang menghala ke Kuala Selangor," katanya.

Muhd Taib berkata, akibat kejadian itu, mangsa tercampak tidak jauh dari kenderaannya yang terhumban ke dalam parit berhampiran manakala anaknya, Gan Chui Yin, 11, melambung kira-kira tujuh meter ke dalam kebun kelapa sawit dari tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dan anaknya yang beralamat di No 13, Jalan Wawasan 1, Taman Wawasan Tanjong Karang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, Mohd Amir yang beralamat di Blok S, Sawah Sempadan itu turut terkorban dalam nahas terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, isteri dan anak kepada mendiang Han Siong mengalami kecederaan teruk dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala pemandu kereta jenis Honda City dan dua penumpang mengalami kecederaan ringan serta patah bahu kanan.

“Dalam masa sama, sebuah lagi pemandu kereta jenis Perodua Viva yang melihat pelanggaran itu cuba menggelakkan lalu terjunam masuk ke dalam kawasan parit. Pemandu dan seorang penumpang terbabit dilaporkan cedera ringan,” katanya.

Muhd Taib berkata, ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing manakala isteri dan anak kepada mendiang Han Siong sehingga semalam dilaporkan sudah sedarkan diri dan stabil di Hospital Sungai Buloh

sumber : sinarharian

Kebun atas bumbung

Di atas bumbung salah sebuah menara di tengah-tengah kesibukan kota Hong Kong, petani bandar sibuk menguruskan kebun sayur organik masing-masing.

Berlatar belakangkan pemandangan puncak bangunan dan bukit-bukau diliputi hutan, sayur-sayuran yang ditanam dalam pasu kotak tumbuh subur di atas lapangan ‘kebun’ yang terletak di atas bumbung menara setinggi 14 tingkat. Di kebun atas menara ini, pelbagai jenis sayur-sayuran ditanam termasuklah timun dan kentang.
Ini adalah antara pemandangan yang semakin biasa di hutan batu Hong Kong, apabila kian ramai penduduknya mula menunjukkan minat pada hasil pertanian organik dan ia menjadi kaedah terbaik untuk lari seketika daripada kesibukan di negara pulau yang dikategorikan sebagai antara negara paling padat di dunia itu.

“Kini saya lebih gembira dapat makan sayur yang saya tanam sendiri berbanding yang dibeli di pasar raya,” kata Melanie Kam, jururawat berusia 28 tahun, yang datang ke ‘Ladang Kota’ di Quarry Bay di pulau Hong Kong dua kali seminggu.


“Berbanding sayur yang dibeli di pasar raya, sayur yang saya tanam sendiri rasanya lebih manis dan segar. Ia memberi saya lebih kepuasan,” katanya lagi.


Hampir semua penduduk di wilayah selatan China itu tinggal di pangsapuri dan dengan harga tanah yang semakin melambung tinggi, kini bumbung bangunan yang tidak digunakan mula diubahsuai dan dijadikan tapak kebun sayur.

Sebenarnya usaha kota kewangan ini melancarkan konsep pertanian bandar terutama di atas bumbung bangunan agak lewat kerana ia sudah bertahun-tahun dijalankan di bandar besar lain seperti London dan New York.

Meskipun tiada data rasmi mengenai jumlah kebun sayur atas bangunan kerana untuk membukanya tidak memerlukan lesen, namun ada pihak mengatakan popularitinya semakin bertambah.

“Pada pendapat saya, pertanian bandar kini semakin popular...jumlah kami (petani bandar) juga meningkat dalam tempoh yang singkat,” kata Osbert Lam, pengasas ‘Ladang Kota’. Menurutnya jumlah petani bandar kini meningkat kepada 200 orang sejak ia mula diperkenalkan dua tahun lalu.

Di ladang yang kami lawati, ada kira-kira 400 kotak sayur di atas tapak seluas 930 meter persegi (10,000 kaki persegi), bumbung yang disewakan dengan kadar HK150 (RM60) hingga HK200 (RM80) sebulan bagi setiap kotak.

“Orang yang datang ke sini semuanya rasa gembira ia macam ubat penenang, lari sekejap daripada kesibukan,” kata Lam.

Di To Kwa Wan, terletak di timur Kowloon, salah seorang pengasas bagi ladang atas bangunan yang lain berkata, projek pertanian itu secara tidak langsung menyerlahkan kawasan perumahan yang selama ini dipinggirkan kerana kekurangan kemudahan pengangkutan dan kebanyakan penduduknya terdiri daripada warga tua.

Chu Pui-Kwan dan dua rakannya mencadangkan supaya bumbung bangunan 12 tingkat yang selama ini terbiar begitu saja dimanfaatkan dengan menjadikan ia sebagai kebun sayur.

Menggunakan papan terpakai dan beberapa bahan lain yang dikutip dari tapak pembinaan, mereka menjadikannya kotak dan mengajak penduduk setempat untuk turut sama dalam projek itu sebelum kebun sayur berkenaan dibuka pada November lalu.

“Kami mengajak warga senior dari kawasan sekitar untuk tampil. Kami beri mereka cat dan suruh mereka warnakan kotak mengikut kesukaan masing-masing. Mereka benar-benar seronok apabila diajak dalam aktiviti begini,” katanya.

Kini, kotak yang berwarna-warni itu dipenuhi pelbagai jenis sayur-sayuran dan herba, termasuklah bayam, kacang pea, serai, pudina dan rosemari menaikkan seri pada kawasan perumahan yang suram itu.

Menurunya, kebun sayur itu dibuka kepada awam secara berkala dan mereka mengadakan kelas untuk mengajar penduduk mengenai cara pertanian bandar.

Chu juga terbabit dengan Time To Glow, syarikat yang menyasarkan untuk meningkatkan akses kepada makanan yang dihasilkan di negara itu.

Ia juga mengendalikan kelas seminggu sekali di Victoria Peak, puncak tertinggi di Hong Kong, di mana selain dapat belajar, peserta juga boleh menikmati pemandangan indah bandar Hong Kong.

“Ideanya ialah untuk mengajak orang ramai bercucuk tanam di rumah sendiri, secara kecil-kecilan...sama ada di bumbung atau tepi tingkap, bermula dengan satu pasu,” kata Chu.

Data rasmi menunjukkan makanan organik menjadi semakin popular di Hong Kong, dan jumlah kebun sayur yang mengambil bahagian dalam skim kendalian kerajaan bagi menggalakkan pertanian organik juga meningkat daripada 123 pada 2008 kepada 193 pada Jun tahun ini.

Bagaimanapun, pengeluaran kebun sayur atas bumbung di Hong Kong masih belum cukup untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan berbanding bandar besar yang tidak mengalami masalah kekurangan ruang yang melampau dan sudah memulakan program seperti ini lebih awal.

Ruang untuk menjadi petani berjaya sangat besar di Hong Kong kerana hanya tiga peratus sayur-sayuran yang diambil penduduk negara itu ditanam di situ, manakala 97 peratus lagi adalah diimport. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03

sumber : hmetro

Tak tahan lalat bertenggek

PORT DICKSON: Masalah kebanjiran lalat di beberapa kawasan di daerah ini dikenal pasti berpunca daripada kedegilan segelintir pengusaha ladang ternakan ayam yang masih menggunakan kaedah lama dalam operasi penternakan mereka.

Pengusaha terbabit masih menternak ayam secara terbuka walaupun kerajaan negeri sejak lima tahun lalu mengarahkan kaedah reban tertutup digunakan.


Penduduk, Amirah Hassan, 28, berkata, pencemaran bau busuk daripada ladang ternakan ayam tidak diurus dengan sempurna menyebabkan ancaman serangga seperti lalat yang menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

“Kami tidak boleh leka dan terpaksa menutup makanan setiap hari berikutan ratusan lalat hinggap pada makanan.


“Keadaan terlalu menyakitkan mata selain bau terlalu busuk dan kehadiran lalat yang terlalu banyak membuatkan kami sekeluarga tidak lalu makan,” katanya di sini, baru-baru ini.


Penduduk lain, Salmiah Jaafar, 47, berkata, berikutan tindakan pengusaha ladang ternakan ayam yang masih menggunakan kaedah lama, dia sekeluarga tidak berselera untuk makan berikutan bau najis ayam yang terlalu busuk.

Katanya, keadaan lebih buruk terutama pada hari hujan apabila najis haiwan berkenaan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.


“Lebih menyakitkan hati tindakan pengusaha terbabit yang seolah-olah tidak mengambil kira kepentingan penduduk lain.

“Penduduk berharap masalah itu mendapat perhatian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia membabitkan bidang kuasa pihak berkenaan untuk tindakan susulan,” katanya. Mengulas masalah itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abdul Wahab Shamsuddin berkata, kebiasaannya masalah lalat berlaku secara bermusim di daerah ini dan dua faktor yang menjadi penyumbang kepada permasalahan itu iaitu aktiviti penternakan ayam secara terbuka selain rumpai laut.


Beliau berkata, berdasarkan rekod daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan terdapat lebih daripada lima pengusaha yang menjalankan aktiviti penternakan ayam di daerah ini dengan dua daripadanya sudah diarah menutup operasi, baru-baru ini kerana gagal menjaga kebersihan.


“Isu lalat yang dikaitkan dengan penternakan ayam secara terbuka sememangnya sudah lama ditimbulkan namun ia hanya boleh diatasi melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas oleh pihak berkaitan dengan mengarahkan mereka menukar kepada sistem tertutup.


“MPPD tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan, namun masalah lalat memberi kesan tidak baik kerana mengganggu keselesaan penduduk dan pelancong,” katanya yang berharap tindakan lebih tegas dapat menangani masalah itu.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan pengusaha ternakan ayam melaksanakan kaedah tertutup berkuat kuasa lima tahun lalu.


“Bagaimanapun, pengusaha terbabit lebih rela membayar kompaun, berbanding berbelanja untuk membina reban tertutup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/31

sumber : hmetro

Lelaki letup pejabat kerajaan maut, enam lagi cedera

BEIJING: Seorang penduduk kampung di kawasan luar bandar di timur China yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan sosial, meletupkan bahan letupan di bangunan kerajaan tempatan semalam.

Tindakan itu menyebabkan dia terbunuh dan enam orang cedera, lapor akhbar milik kerajaan.


Qu Huaqiang, didakwa meletupkan bahan letupan buatan sendiri di pejabat kerajaan di Tengjia, wilayah Shandong, lapor agensi berita Xinhua. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka yang cedera itu pegawai kerajaan. Berita mengenai pengeboman itu tersebar secara meluas di Internet dengan beberapa penulis blog meluahkan simpati terhadapnya dengan menganggap Huaqiang mangsa sistem petisyen di China, institusi tua yang mensasarkan untuk menangani ketidakadilan.

Seorang pegawai di Tengjia yang dihubungi media mengesahkan insiden pengeboman itu, tetapi menafikan Qu adalah pempetisyen. Pihak berkuasa majlis perbandaran masih menyiasat kejadian itu.


Kepesatan perkembangan ekonomi China sejak 30 tahun lalu menyebabkan jurang pendapatan melebar antara golongan miskin dan kaya di China, dengan mereka yang termiskin di negara itu sering mengadu dieksploitasi oleh kerajaan tempatan berkait dengan isu tenaga buruh dan kawasan perladangan yang murah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04

sumber : hmetro

Gara-gara durian

SINGAPURA: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki Singapura, dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas ditikam gara-gara durian berharga Sg$2 (RM5), semalam.

Lianhe Wanboe, 46, bertegang urat dengan penjual durian itu ketika meminta untuk merasa sedikit buah berkenaan di gerai di Jalan Bukit Merah. Sebab pertengkaran itu tidak dijelaskan.
Menurut akhbar tempatan, mangsa berkata, ketika dia berdiri di gerai itu, tiba-tiba dia merasa ada orang menikamnya dari belakang.

Pada mulanya, Lianhe merasakan dia menjadi mangsa rompakan. Dia menjerit meminta tolong tetapi tidak ada siapa yang mengendahkan.


Dalam keadaan berdarah, Lianhe berjalan sejauh 500 meter untuk menahan teksi dan ke hospital.


Mangsa mengalami dua luka tikaman di belakang tubuh.

Serangan itu turut menyebabkan satu tulang rusuknya patah. Doktor terpaksa melakukan pembedahan dan Lianhe kini diletakkan di bawah pengawasan di unit rawatan rapi di Hospital Besar Singapura.

Penyerangnya, penjual durian berusia 61 tahun ditahan polis. Saksi berkata, penjual durian itu kelihatan tenang ketika dibawa polis. - SM

sumber : hmetro

Buru hingga ke hospital

JEMPOL: Lima lelaki bertindak nekad mengekori seorang lelaki yang cedera dalam pergaduhan hingga ke Jabatan Kecemasan Hospital Jempol (HJ), di sini, sebelum menetak mangsa, dalam kejadian malam kelmarin.

Kejadian jam 8 malam itu turut disaksikan kakitangan hospital termasuk doktor serta jururawat yang terkejut melihat tindakan ala mafia suspek yang menyerang mangsa.

Sebelum itu, pada jam 6 petang hari sama, mangsa, lelaki berusia 35 tahun terbabit dalam pergaduhan dengan seorang daripada suspek berusia 21 tahun kerana tidak puas hati apabila lelaki itu mengganggu adiknya di Taman Satelit, Bahau, di sini.

Menurut sumber, dalam pergaduhan itu, suspek cedera di kaki, manakala mangsa cedera di kepala sebelum dibawa adiknya ke Hospital Jempol tanpa menyedari suspek masih tidak puas hati dan membawa empat rakan mengekorinya ke hospital.


“Lima lelaki berusia 20-an itu memasuki kawasan hospital berkenaan dengan membawa parang dan menyerang mangsa yang mendapatkan rawatan dengan ditemani keluarganya,” katanya.

sumber : hmetro

Thursday, 23 August 2012

Paha digigit buaya


KUCHING: “Mulanya, saya menyangka rakan bergurau dengan menarik paha, namun sebaik menoleh, saya melihat mereka berdiri agak jauh daripada saya.

“Saya kemudian mengesyaki ada yang tak kena lalu terus meraba lalu terkejut apabila merasai sesuatu benda berkulit keras menggigit kedua-dua paha saya,” kata Ashley Austin Chin, 14, yang terselamat biarpun dibaham buaya air masin di pantai Pasir Pandak, dekat sini, pagi semalam.


Berikutan itu, katanya, dia memberanikan diri dengan menumbuk mata serta badan buaya yang sepanjang lebih tiga meter itu untuk melepaskan gigitannya.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu mengalami luka di kedua-dua paha.


Sebelum kejadian, Austin berkata, dia bersama lima rakan pergi ke pantai berkenaan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar raya ini untuk mandi sempena cuti sambutan Aidilfitri, kira-kira jam 7 pagi.


Selepas hampir setengah jam menghabiskan masa dengan mandi, dia tiba-tiba terasa sesuatu cuba menggigit pahanya.

“Ketika itu, saya langsung tidak terfikir digigit buaya kerana pantai berkenaan sering dikunjungi orang ramai, terutama setiap hujung minggu.


“Malah, ketika kedua-dua paha saya dibaham, saya masih mampu mengelak dan cuba menepis. Apabila gigitannya semakin kuat, barulah saya segera melawan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Austin berkata, dia menggunakan seluruh kudrat untuk menumbuk mata buaya itu.


“Hanya itu cara terakhir dan kudrat yang saya ada. Mungkin tumbukan tepat pada mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitannya dan kesempatan itu juga saya gunakan untuk menendang badannya,” katanya.


Austin bersyukur kerana terselamat daripada maut, namun menyesal kerana sebelum kejadian, ibu memang tidak membenarkan dia mandi di situ kerana bimbangkan keselamatannya.


“Saya tidak mengendahkan larangan itu, sebaliknya menuruti ajakan rakan yang merancang untuk mandi-manda di pantai berkenaan,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

sumber : hmetro

Thursday, 26 July 2012

Bayi maut tercampak


KUANTAN- Seorang bayi berusia setahun maut tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya setelah kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Temerloh- Mayam dekat Bera, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa Mohamad Aysisy Shfyi’ Mohd Rizail, 1, yang sebelum itu berada di pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kemalangan itu, ibu mangsa, Salma Mohd Sadali, 21 cedera parah apabila patah bahu dan terkoyak kulit muka.

Menurutnya, pemandu kereta Mohd Rizail Abd Kadir, 32 yang bertugas sebagai anggota tentera di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Kuala Lumpur dan seorang lagi anaknya, Qaseh Nur Syifa’, 2, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu lori, Mohamad Mazani Yusof, 27, dari Felda Bukit Goh dekat sini turut terselamat dan juga hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, empat sekeluarga dari Felda Sebertak itu dipercayai dalam perjalanan ke Felda Kumai dari arah Temerloh.

“Ketika sampai di lokasi nahas, lori yang dipandu Mohamad Mazani dari arah bertentangan hilang kawalan dan nyaris terbalik ketika cuba mengelak sebuah lori balak yang memotongnya di sebelah kanan.

“Tindakan pemandu lori terbabit mengelak ke kiri menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang imbangan memandangkan permukaan jalan di kawasan itu tidak rata,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, pemandu lori menekan minyak untuk masuk kembali ke laluan namun kenderaan tersebut tersasar ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dinaiki empat beranak itu.

“Akibat pertembungan itu, kereta jenis Proton Persona itu terseret beberapa meter manakala mangsa yang berada di pangkuan ibunya tercampak keluar melalui bahagian pintu depan sebelah kiri yang tercabut.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat manakala kedua ibu-bapa dan kakak mangsa turut dihantar menerima rawatan di hospital sama.

“Pemandu lori yang mengalami cedera ringan hanya mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Bandar 32, Bera,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa bayi terbabit masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber : sinarharian

Felda agih RM2.29 juta


JERANTUT- Sebanyak RM2.29 juta durian runtuh fasa kedua diagihkan kepada 459 isteri peneroka dari Felda Sungai Tekam Utara, dekat sini, gembira apabila mendapat agihan wang durian runtuh fasa kedua sebanyak RM5,000 daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), semalam.

Majlis penyampaian cek berjumlah itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Tekam Utara.

Ahmad Shukri berkata, penerima disaran memanfaatkan wang itu sama ada dengan menabung sebagai persiapan menghadapi usia emas.

Menurutnya, pemberian RM5,000 itu adalah imbuhan Felda kepada penerokawati di atas usaha gigih mereka membantu peneroka membangunkan tanah rancangan semenjak 30 tahun lalu.

“Kini tiba masanya Felda membalas penat-lelah penerokawati dengan turut memberikan mereka peluang menikmati durian runtuh.

“Terdapat pelbagai cara untuk memanfaatkan wang ini sama ada menabung atau dimasukkan ke dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang menjanjikan faedah cukup lumayan,” katanya.

Beliau berkata, penerima juga boleh membuat tabungan untuk menunaikan fardu haji atau menyimpan wang terbabit bagi kegunaan isi rumah dan sebagainya.

Sementara itu, Pengurus Felda Sungai Tekam Utara, Mohd Nizam Tik berkata, pemberian durian runtuh itu juga membuktikan komitmen Felda dalam menghargai jasa peneroka yang bersusah payah selama ini.

“Banyak kemudahan disediakan Felda sehingga mampu memberi taraf hidup selesa.

“Pemberian durian runtuh kepada peneroka dan isteri itu turut membuktikan Felda tidak mungkir janji. Oleh itu, nikmat besar ini perlu disyukuri dan dimanfaatkan dengan bijak,” katanya.

Mohd Nizam berkata, warga peneroka juga dinasihatkan merujuk pada pengurusan Felda jika berdepan masalah dan tidak mendengar khabar angin atau cakap kosong pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelakkan mereka ditipu.

“Kita sedia bertemu peneroka jika berdepan masalah untuk memberi penerangan, maklumat dan informasi berkaitan. Segala kekeliruan boleh diselesaikan di peringkat rancangan tanpa perlu dipanjangkan ke mahkamah,” katanya.

sumber : sinarharian