PADANG MIDIN – Berkongsi berus gigi dengan menggunakan air kumuran yang sama dengan peserta lain menjadi pengalaman bernilai dan kenangan berharga buat Nur Nai’llah Mansor, 19, yang dinobatkan Peserta Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Perajurit Muda (S) Siri 1/2012, semalam.
Malah, bagi remaja berasal daripada Manir, Kuala Terengganu ini, walaupun secara pandangan mata kasar ia agak menjijikkan, namun sebenarnya aktiviti berkenaan mampu meningkatkan ketahanan mental untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Menurut anak kelima pasangan Mansor Ismail, 53, dan Mek Dayang Sulong, 52, ini, peluang mengikuti kursus itu selama sebulan diharapkan menjadi titik permulaan yang baik buatnya bagi mencapai impian menjadikan bidang beruniform sebagai kerjayanya pada masa hadapan.
“Saya memang meminati uniform sejak kecil kerana melihat kerjaya berunifom ini kelihatan segak dan kemas. Lantaran itu, saya menyertai kadet bomba sewaktu di sekolah menengah dan tidak lepaskan peluang apabila kakak, Nor Arfni, 24, memaklumkan mengenai kursus perajurit muda ini.
“Tempoh sebulan mengikuti kursus ini benar-benar memberikan saya pengalaman berharga dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Keputusan diambil untuk menyertai kursus ini begitu tepat bagi diri saya kerana begitu banyak ilmu ditimba,” katanya.
Dia juga tidak menyangka terpilih sebagai peserta keseluruhan terbaik bagi kursus kali ini, namun dia bersyukur dan diharapkan sedikit sebanyak memberikan ‘kredit’ bagi menghadiri temu duga memasuki Universiti Pertahanan Nasional April depan.
Kegembiraan anak kelima daripada enam beradik ini dikongsi bersama Sinar Harian sewaktu Majlis Penutupan Kursus Asas Perajurit Muda(S) Siri 1/2012, di Rejimen 512 (AW) Kem Padang Midin, di sini, semalam.
Perasmiannya disempurnakan Timbalan Komander, Rejimen 512 AW Kem Padang Midin, Leftenan Kolonel Nazli Alias.
Kursus yang bermula 2 Februari lalu melibatkan 58 peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun dan merupakan kursus asas yang bertujuan memberi pendedahan kepada anggota sukarela dengan alam ketenteraan, serta menjadikan mereka sebagai anggota terlatih.
Turut berkongsi kegembiraan, penerima anugerah Akademik Terbaik, Maziah Rafie, 43, Muhammad Al-Hanif Zakaria, 20, (Kawad Lelaki Terbaik), Nurul Asmira Din, 20, (Kawad Lelaki Terbaik) serta Massita Kamaruddin, 30 bagi anugerah Menembak Terbaik.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment