KUANTAN – Hasrat untuk berubat dan menjalani pembedahan mata pada awal Februari lalu menjadi mimpi ngeri pada Siti Zaleha Mohd Roslan,48 yang menderita sakit di bahagian kaki kanannya.
Menurutnya, sejurus selepas selamat menjalani pembedahan di matanya, dia berasa sakit di bahagian kaki seolah-olah melepuh seperti terkena api.
“Sepanjang pembedahan itu saya tidak rasa sakit,namun sejurus selepas itu, saya rasakan kaki saya sakit. Pada awalnya saya tidak kisah kerana menyangka ia akan baik dalam masa yang terdekat ini.
“Namun, selepas dapat melihat dengan lebih jelas, saya tidak dapat berjalan berikutan kaki saya menjadi bengkak dan gelembung.
“Ketika itulah saya rasa sakit yang teramat sangat dan kadang kala menyesal pula menjalani pembedahan itu kerana kaki saya sakit,” katanya.
Selain itu, selepas beberapa hari di rumah, dia pergi ke hospital semula untuk memeriksa keadaan kakinya yang semakin hari tidak menunjukkan tanda-tanda ingin sembuh.
Siti Zaleha berkata, kakinya juga menjadi berlubang sejurus selepas gelembung itu pecah dengan kesakitan yang berlipat kali ganda.
“Tuhan saja yang tahu bagaimana saya tanggung rasa sakit ini. Semuanya perkara saya tidak dapat buat gara-gara kaki yang sakit ini.
“Jika dahulu saya hanya menghadapi masalah penglihatan sahaja, kini saya rasakan beban yang lebih berat lagi dengan kaki yang begini,” katanya.
Seterusnya, setelah beberapa kali berulang alik ke hospital menerima rawatan dia dimaklumkan bahawa ada kecuaian yang dilakukan oleh pihak hospital tersebut.
“Pihak hospital mengaku ada kecuaian yang berlaku dan telah meminta maaf daripada saya. Saya pun tidak mahu mengambil apa-apa tindakan dan mereka kini sedang berusaha mencari punca mengapa saya mengalami masalah ini.
“Apa yang saya harapkan sekarang ini adalah untuk cepat sembuh dan menjalani kehidupan normal sama seperti dahulu dan semoga tiada siapa lagi yang menerima nasib sama seperti saya ini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, nasib Siti Zaleha mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.
Menurut Md Sohaimi, beliau mahu pihak hospital merawat dan segera mencari punca keadaan yang menimpa Siti Zaleha ini.
“Saya harap agar masalah ini akan selesai dengan secepat mungkin dan kesihatan Siti juga kembali pulih,” katanya.
Sumber : Sinar HArian
No comments:
Post a Comment