KULAIJAYA: “Saya tidak sangka kesulitan membuang air besar yang mulanya disyaki sembelit rupa-rupanya akibat perbuatan hasad dengki pihak tidak bertanggungjawab.
“Sudah lebih 10 doktor saya temui dalam tempoh lima bulan sejak Julai lalu kerana menyangka menghadapi sembelit, tetapi mereka pelik kerana tidak dapat mengenal pasti penyakit saya,” kata peniaga wanita, Rohayu Rahman, 26, semalam.
Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan ada pihak cemburu serta iri hati dengan kejayaannya dan suami yang mengusahakan kedai runcit termasuk membuka cawangan kedua di Kulaijaya pada awal tahun lalu.
Katanya, pada mulanya, dia menyangka kesukarannya membuang air besar iaitu sekali sebulan berpunca daripada kurang rehat dan makan tidak teratur.
Menurutnya, akibat bimbang dengan kesihatannya yang semakin terjejas, dia mendapatkan rawatan perubatan moden selain menjalani pemeriksaan x-ray beberapa kali bagi mengenal pasti penyakitnya.
“Bagaimanapun, doktor pelik kerana tiada masalah kesihatan dikenal pasti menerusi ujian x-ray dan ujian darah.
“Namun, gangguan itu berterusan hingga mengakibatkan saya sentiasa sakit perut dan sukar bergerak serta mengganggu perniagaan,” katanya.
Ibu itu berkata, selepas kejadian itu, dia mendapatkan rawatan daripada seorang pengamal perubatan tradisional di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini.
Menurutnya, mujur selepas rawatan, masalah kesihatannya beransur pulih.
“Saya terkejut apabila imej dirakam menerusi telefon bimbit dalam botol yang digunakan ketika rawatan kelihatan seperti pocong. Ia mungkin bukti hasad dengki pihak tertentu,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ulama Johor, Mohamad Halimi Kolan berkata, sihir atau ilmu hitam wujud sejak zaman Nabi dan diamalkan hingga kini.
“Amalan sihir atau ilmu hitam bertentangan ajaran Islam manakala pengamalnya dikategorikan sebagai menyekutukan Allah,” katanya.
Sumber Harian Metro
No comments:
Post a Comment