KUANTAN: Niat murni warga emas mahu menghalau lembu jantan berkeliaran berdekatan masjid bertukar tragedi apabila dia nyaris maut ditanduk dan dilambung setinggi dua meter ternakan berkenaan yang naik minyak.
Akibat kejadian itu, warga emas terbabit, Yusoff Awang De, 64, dari Kampung Lamir, Pekan, patah bahu kanan, cedera di leher serta pinggang dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, malah mangsa juga berisiko lumpuh.
Kejadian jam 1.30 tengah hari pada 14 Februari lalu itu disaksikan cucu mangsa, Mohd Asmie Firdaus Mohd Asmawie, 17, yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian yang hanya beberapa meter dari rumah mereka.
“Sebelum kejadian, datuk dalam perjalanan dari rumah ke masjid menunaikan solat Zuhur dan pada masa sama lembu jantan berdekatan pintu pagar masjid terbabit sebelum datuk cuba menghalau haiwan itu.
“Saya melihat datuk tunduk mengambil kayu dan ketika itulah lembu jantan besar berkenaan meluru ke arahnya lalu menanduk dan melambungnya seperti bola sebelum dia terjatuh ke dalam longkang berdekatan pagar masjid,” kata Mohd Asmie ketika ditemui di HTAA, di sini, semalam.
Katanya, dia yang terkejut dengan kejadian itu bergegas membantu datuknya yang mengerang kesakitan selain beberapa penduduk kampung yang berada di kawasan berhampiran turut menghulur bantuan.
“Atuk dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke HTAA dan keadaannya kini stabil namun tidak dapat menggerakkan kedua-dua tangan serta kakinya.
“Dia hanya terbaring saja, malah doktor memaklumkan dia mungkin berisiko lumpuh.
“Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada hari kejadian selain tuan punya lembu berkenaan juga ada menziarahi datuk ketika dirawat di Hospital Pekan,” katanya yang kesal dengan kejadian menimpa warga emas itu.
Mohd Asmie berkata, di kawasan kampung berkenaan banyak lembu peliharaan dibiarkan berkeliaran namun kejadian malang menimpa datuknya adalah kali pertama berlaku.
Sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment