Partime Job

Tuesday 4 September 2012

Tak tahan lalat bertenggek

PORT DICKSON: Masalah kebanjiran lalat di beberapa kawasan di daerah ini dikenal pasti berpunca daripada kedegilan segelintir pengusaha ladang ternakan ayam yang masih menggunakan kaedah lama dalam operasi penternakan mereka.

Pengusaha terbabit masih menternak ayam secara terbuka walaupun kerajaan negeri sejak lima tahun lalu mengarahkan kaedah reban tertutup digunakan.


Penduduk, Amirah Hassan, 28, berkata, pencemaran bau busuk daripada ladang ternakan ayam tidak diurus dengan sempurna menyebabkan ancaman serangga seperti lalat yang menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

“Kami tidak boleh leka dan terpaksa menutup makanan setiap hari berikutan ratusan lalat hinggap pada makanan.


“Keadaan terlalu menyakitkan mata selain bau terlalu busuk dan kehadiran lalat yang terlalu banyak membuatkan kami sekeluarga tidak lalu makan,” katanya di sini, baru-baru ini.


Penduduk lain, Salmiah Jaafar, 47, berkata, berikutan tindakan pengusaha ladang ternakan ayam yang masih menggunakan kaedah lama, dia sekeluarga tidak berselera untuk makan berikutan bau najis ayam yang terlalu busuk.

Katanya, keadaan lebih buruk terutama pada hari hujan apabila najis haiwan berkenaan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.


“Lebih menyakitkan hati tindakan pengusaha terbabit yang seolah-olah tidak mengambil kira kepentingan penduduk lain.

“Penduduk berharap masalah itu mendapat perhatian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia membabitkan bidang kuasa pihak berkenaan untuk tindakan susulan,” katanya. Mengulas masalah itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abdul Wahab Shamsuddin berkata, kebiasaannya masalah lalat berlaku secara bermusim di daerah ini dan dua faktor yang menjadi penyumbang kepada permasalahan itu iaitu aktiviti penternakan ayam secara terbuka selain rumpai laut.


Beliau berkata, berdasarkan rekod daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan terdapat lebih daripada lima pengusaha yang menjalankan aktiviti penternakan ayam di daerah ini dengan dua daripadanya sudah diarah menutup operasi, baru-baru ini kerana gagal menjaga kebersihan.


“Isu lalat yang dikaitkan dengan penternakan ayam secara terbuka sememangnya sudah lama ditimbulkan namun ia hanya boleh diatasi melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas oleh pihak berkaitan dengan mengarahkan mereka menukar kepada sistem tertutup.


“MPPD tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan, namun masalah lalat memberi kesan tidak baik kerana mengganggu keselesaan penduduk dan pelancong,” katanya yang berharap tindakan lebih tegas dapat menangani masalah itu.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan pengusaha ternakan ayam melaksanakan kaedah tertutup berkuat kuasa lima tahun lalu.


“Bagaimanapun, pengusaha terbabit lebih rela membayar kompaun, berbanding berbelanja untuk membina reban tertutup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/31

sumber : hmetro

No comments: