Partime Job

Tuesday 4 September 2012

Kebun atas bumbung

Di atas bumbung salah sebuah menara di tengah-tengah kesibukan kota Hong Kong, petani bandar sibuk menguruskan kebun sayur organik masing-masing.

Berlatar belakangkan pemandangan puncak bangunan dan bukit-bukau diliputi hutan, sayur-sayuran yang ditanam dalam pasu kotak tumbuh subur di atas lapangan ‘kebun’ yang terletak di atas bumbung menara setinggi 14 tingkat. Di kebun atas menara ini, pelbagai jenis sayur-sayuran ditanam termasuklah timun dan kentang.
Ini adalah antara pemandangan yang semakin biasa di hutan batu Hong Kong, apabila kian ramai penduduknya mula menunjukkan minat pada hasil pertanian organik dan ia menjadi kaedah terbaik untuk lari seketika daripada kesibukan di negara pulau yang dikategorikan sebagai antara negara paling padat di dunia itu.

“Kini saya lebih gembira dapat makan sayur yang saya tanam sendiri berbanding yang dibeli di pasar raya,” kata Melanie Kam, jururawat berusia 28 tahun, yang datang ke ‘Ladang Kota’ di Quarry Bay di pulau Hong Kong dua kali seminggu.


“Berbanding sayur yang dibeli di pasar raya, sayur yang saya tanam sendiri rasanya lebih manis dan segar. Ia memberi saya lebih kepuasan,” katanya lagi.


Hampir semua penduduk di wilayah selatan China itu tinggal di pangsapuri dan dengan harga tanah yang semakin melambung tinggi, kini bumbung bangunan yang tidak digunakan mula diubahsuai dan dijadikan tapak kebun sayur.

Sebenarnya usaha kota kewangan ini melancarkan konsep pertanian bandar terutama di atas bumbung bangunan agak lewat kerana ia sudah bertahun-tahun dijalankan di bandar besar lain seperti London dan New York.

Meskipun tiada data rasmi mengenai jumlah kebun sayur atas bangunan kerana untuk membukanya tidak memerlukan lesen, namun ada pihak mengatakan popularitinya semakin bertambah.

“Pada pendapat saya, pertanian bandar kini semakin popular...jumlah kami (petani bandar) juga meningkat dalam tempoh yang singkat,” kata Osbert Lam, pengasas ‘Ladang Kota’. Menurutnya jumlah petani bandar kini meningkat kepada 200 orang sejak ia mula diperkenalkan dua tahun lalu.

Di ladang yang kami lawati, ada kira-kira 400 kotak sayur di atas tapak seluas 930 meter persegi (10,000 kaki persegi), bumbung yang disewakan dengan kadar HK150 (RM60) hingga HK200 (RM80) sebulan bagi setiap kotak.

“Orang yang datang ke sini semuanya rasa gembira ia macam ubat penenang, lari sekejap daripada kesibukan,” kata Lam.

Di To Kwa Wan, terletak di timur Kowloon, salah seorang pengasas bagi ladang atas bangunan yang lain berkata, projek pertanian itu secara tidak langsung menyerlahkan kawasan perumahan yang selama ini dipinggirkan kerana kekurangan kemudahan pengangkutan dan kebanyakan penduduknya terdiri daripada warga tua.

Chu Pui-Kwan dan dua rakannya mencadangkan supaya bumbung bangunan 12 tingkat yang selama ini terbiar begitu saja dimanfaatkan dengan menjadikan ia sebagai kebun sayur.

Menggunakan papan terpakai dan beberapa bahan lain yang dikutip dari tapak pembinaan, mereka menjadikannya kotak dan mengajak penduduk setempat untuk turut sama dalam projek itu sebelum kebun sayur berkenaan dibuka pada November lalu.

“Kami mengajak warga senior dari kawasan sekitar untuk tampil. Kami beri mereka cat dan suruh mereka warnakan kotak mengikut kesukaan masing-masing. Mereka benar-benar seronok apabila diajak dalam aktiviti begini,” katanya.

Kini, kotak yang berwarna-warni itu dipenuhi pelbagai jenis sayur-sayuran dan herba, termasuklah bayam, kacang pea, serai, pudina dan rosemari menaikkan seri pada kawasan perumahan yang suram itu.

Menurunya, kebun sayur itu dibuka kepada awam secara berkala dan mereka mengadakan kelas untuk mengajar penduduk mengenai cara pertanian bandar.

Chu juga terbabit dengan Time To Glow, syarikat yang menyasarkan untuk meningkatkan akses kepada makanan yang dihasilkan di negara itu.

Ia juga mengendalikan kelas seminggu sekali di Victoria Peak, puncak tertinggi di Hong Kong, di mana selain dapat belajar, peserta juga boleh menikmati pemandangan indah bandar Hong Kong.

“Ideanya ialah untuk mengajak orang ramai bercucuk tanam di rumah sendiri, secara kecil-kecilan...sama ada di bumbung atau tepi tingkap, bermula dengan satu pasu,” kata Chu.

Data rasmi menunjukkan makanan organik menjadi semakin popular di Hong Kong, dan jumlah kebun sayur yang mengambil bahagian dalam skim kendalian kerajaan bagi menggalakkan pertanian organik juga meningkat daripada 123 pada 2008 kepada 193 pada Jun tahun ini.

Bagaimanapun, pengeluaran kebun sayur atas bumbung di Hong Kong masih belum cukup untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan berbanding bandar besar yang tidak mengalami masalah kekurangan ruang yang melampau dan sudah memulakan program seperti ini lebih awal.

Ruang untuk menjadi petani berjaya sangat besar di Hong Kong kerana hanya tiga peratus sayur-sayuran yang diambil penduduk negara itu ditanam di situ, manakala 97 peratus lagi adalah diimport. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03

sumber : hmetro

No comments: