Partime Job

Tuesday 4 September 2012

Makan gaji vs kerja sendiri: Tidak minat makan gaji

kalo diberi pilihan dan cukup modal.. tentulah pilih kerja sendiri..


PEKAN – Pulangan keuntungan lumayan serta minat yang bersungguh-sungguh dalam bidang perniagaan menjadikan Syed Mohammad Faiz Azzemmant, 25, tidak pernah terfikir untuk memegang status ‘makan gaji’ seperti orang lain.

Bagi pemuda kelahiran Pekan ini, kelebihan sebagai ahli perniagaan berjaya yang dimiliki oleh ibunya, Jamaliah Ismail, 48, wajar diwarisi bagi mengecapi kepuasan dalam bekerja.

Menurutnya, memang sukar untuk membina kerjaya sebagai ahli perniagaan di usia yang terlalu muda namun keazaman yang tinggi membawanya ke puncak kejayaan yang tidak pernah terbayang oleh dirinya sendiri.

“Selepas tamat belajar, saya rajin mengikut ibu menghadiri majlis keramaian atau berkaitan perbincangan perniagaan bagi memastikan diri serasi dengan suasana di samping mengenali ahli-ahli perniagaan yang berjaya.

“Melalui pendedahan yang diterima, saya mengutip pengalaman dan tunjuk ajar yang diberikan oleh mereka selain mempelajari selok-belok dunia perniagaan yang penuh dengan cabaran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Alaf Maju Berhad kini, Syed Mohammad Faiz berkata, pengalaman jatuh bangun beliau sepanjang beberapa tahun lalu bergelar ahli perniagaan muda di dalam bidang perladangan.

“Mungkin ramai yang berminat dengan kerja makan gaji terutamanya sebagai kakitangan kerajaan, tetapi saya memandang ia sebagai satu cabang rezeki untuk golongan yang mahu berkhidmat tanpa perlu memikirkan pelbagai risiko seperti cabaran dan kerugian,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima adik beradik ini, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat sesuatu keputusan berkaitan perniagaan yang dijalankan namun proses berkenaan membantunya mengasah ketajaman fikiran serta lebih arif dalam membuat penilaian.


Minat kerja kebajikan

Selain menguruskan perniagaan, Syed Mohammad Faiz turut gemar menyertai aktiviti kebajikan dan minatnya itu disalurkan melalui NGO yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu iaitu Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP).

Menurutnya, PAKP telah mencecah lebih 1,500 ahli termasuk rakan ahli niaganya yang berminat untuk bersama-sama memberi sokongan kepada kerja kebajikan yang dilakukan.

“Sokongan daripada rakan niaga termasuk sumbangan yang dihulurkan melancarkan lagi usaha yang dilakukan persatuan ini sekali gus mencapai misi membantu golongan yang memerlukan.

“Kami sering menganjurkan majlis atau aktiviti berbentuk santai dan di kawasan terpilih khususnya luar bandar bagi menyampaikan bantuan serta menghargai anggota masyarakat yang kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik,
warga emas serta anak yatim selain membantu mengajukan sesuatu masalah yang dialami oleh ahli kepada pihak berkenaan bagi memastikan nasib ahli terbela dengan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, PAKP dari semasa ke semasa giat menggapai sasaran dengan menyeru lebih ramai belia khususnya anak jati negeri Pahang menyertainya.

“Selain berbakti kepada masyarakat, saya juga mahu melihat anak bangsa mencipta kejayaan melalui usaha yang dilakukan sekali gus mengangkat martabat kita di dalam bidang ekonomi dan perniagaan melalui perancangan yang dirangka.

“Bantuan demi bantuan diberikan bagi memastikan mereka yang berminat dapat berkongsi ilmu dan menjadikan pengalaman saya sebagai landasan untuk mereka meraih gelaran usahawan berjaya,” katanya.

Beliau berharap agar lebih ramai belia mendedikasikan hidup mereka dalam setiap usaha yang dilakukan dan tidak cerewet dalam melaksanakan pekerjaan walaupun terpaksa bermula dari bawah.

“Secara peribadi, bagi saya kehidupan yang berjaya kini bukan hanya bergantung pada sijil, diploma atau Ijzah yang dimiliki, tetapi usaha yang bersungguh-sungguh serta tidak mudah berputus asa dalam melaksanakan sesuatu perancangan adalah kunci sebenar kepada kejayaan.

“Jika kita malas berusaha, maka akal fikiran serta kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada diri tidak akan berfungsi sewajarnya sekaligus meletakkan kita di dalam golongan manusia yang rugi,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: