Partime Job

Tuesday 4 September 2012

Hasrat mahu melancong terkubur


KUANTAN - Hasrat seorang pekerja am rendah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk melancong ke Indonesia bersama rakan setugas tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan KuantanPelabuhan, berhampiran Sungai Karang Darat, dekat sini, pagi semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Wan Rohaini Wan Ishak, 54, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Indera Mahkota 1 ke tempat kerja di Balok disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda lalu terjatuh menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Adik tiri mangsa, Norizan Mamat, 43, berkata, dia mendengar arwah bercakap tentang rancangannya untuk melancong ke Indonesia bersama rakan sekerja sebelum turun dari rumah untuk ke tempat kerja, pagi semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa mangsa sepatutnya berangkat ke Indonesia pada 9 September ini bagi mengikuti kunjungan bersama kakitangan MPK melalui inisiatif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan difahamkan tiket penerbangan ke sana juga sudah dibeli pihak berkenaan.

“Sebelum arwah keluar ke tempat kerja pagi tadi (semalam), saya ada mendengar dia bercakap dengan suami di luar rumah meminta kami mengeluarkan wangnya dalam akaun sebanyak RM1,000 untuk dibawa ke Indonesia namun saya tidak sempat menemuinya ketika itu,” katanya ketika ditemui Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, semalam.

Norizan berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas diberitahu oleh seorang rakan sekerja kakaknya itu yang datang rumah namun tidak dimaklumkan mengenai keadaan mangsa ketika itu.

“Saya terkejut apabila diberitahu bahawa arwah sudah tiada sejurus tiba di rumah mayat HTAA. Walaupun terkilan dengan kejadian yang menimpanya namun kami tetap reda.

“Arwah seorang yang sangat ramah dan periang justeru disenangi semua ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd jasmani Yusoff ketika dihubungi pemberita petang semalam mengesahkan menerima laporan berhubung nahas tersebut.

Menurutnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

sumber : sinarharian

No comments: