Partime Job

Thursday 26 July 2012

Tiket bas laris


KUANTAN -Walaupun baru beberapa hari umat Islam menjalani ibadah berpuasa, hampir kesemua tiket bas ekspres untuk laluan ke seluruh semenanjung sempena Aidilfitri sudah habis dijual.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kaunter bas ekspres di Terminal Bas Kuantan, di sini, mendapati tiket-tiket bas untuk perjalanan bermula 15 hingga 18 Ogos sudah habis dijual dan hanya tinggal beberapa laluan untuk ke lokasi tertentu masih berbaki.

Antara tiket paling awal habis ialah untuk laluan ke Kota Bharu yang boleh diibaratkan seperti goreng pisang panas diikuti destinasi lain ke Pantai Timur dan utara.

Pelanggan pulang hampa

Ajen Jualan Bas Ekspres Durian Burung, Shamsul Abu Samah, 40, berkata, semua tiket bagi laluan ke seluruh semenanjung Malaysia sudah habis dijual, malah ramai pelanggan yang pulang hampa kerana tiket sudah habis.

Menurutnya, paling mendapat permintaan ialah bagi laluan ke Kota Bharu yang tiketnya paling cepat habis iaitu sebelum puasa.

“Boleh dikatakan tiket untuk ke semua destinasi bagi tarikh 15 hingga 18 Ogos sudah habis dijual dan pelanggan berpusu-pusu datang sejak pembelian tiket Aidilfitri dibuka pada 7 Julai lalu.

“Hanya yang tinggal ialah tiket bagi laluan ke Kuala Lumpur dan biasanya pada hari raya ia akan laris kerana ramai warga asing akan ke sana.

“Bagi bas tambahan kita masih tidak mendapat kelulusan untuk membuka tiket jualan dan pada tahun sebelum ini, memang kita akan sediakan bas tambahan bagi menampung keperluan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beli 2 minggu sebelum puasa

Manakala, Kerani Kaunter Maju Ekspres, Wan Mohd Nasrulhaq, 21, berkata, pelanggan berpusu datang sejak dua minggu sebelum berpuasa dan hanya dalam beberapa hari sahaja tiket bagi laluan ke Kota Baru habis dijual.

“Tiket bagi seluruh laluan ke Kelantan memang sudah habis dijual, manakala bagi perjalanan ke Terengganu dan Utara pembelian tiket belum dibuka.

“Bagi laluan ke Johor dan Kuala Lumpur tiket masih ada serta sempena musim perayaan sebanyak empat trip bas akan bergerak ke destinasi tertentu, manakala tiket bagi bas tambahan belum dibuka.

“Tiket bagi laluan ke Terengganu dan Utara mungkin akan dibuka tidak lama lagi dan selepas itu tiket bagi bas tambahan,” katanya.

Dapat sambutan menggalakkan

Sementara itu, Kerani Shamisa Holiday, M. Asuad M. Tahir berkata, perkhidmatan bas ke laluan Utara yang dibuka mendapat sambutan menggalakkan seperti musim perayaan sebelum ini.

“Situasi sebegini memang biasa bila menjelang musim perayaan dan bagi perkhidmatan syarikat kami yang hanya menyediakan laluan ke Utara tiket sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung kesemuanya.

“Antara tiket paling laris bagi laluan Utara ialah Butterworth, Sungai Petani,Jitra, perlis, Ipoh dan banyak lagi.

“Tahun ini memang tiket dibuka awal menyebabkan tiket yang dijual juga habis dalam tempoh beberapa hari sahaja.

“Bagi menampung keperluan pelanggan yang belum mendapatkan tiket, tiket bas tambahan akan dibuka sebaik sahaja kelulusan diberikan,” katanya.

Beli tiket lebih awal

Seorang penuntut institusi awam di negeri ini, Nurul Husna Zulkifli, 18, berkata, berpuasa di tempat orang adalah pengalaman pertama baginya dan dia tidak mahu terlepas peluang untuk beraya bersama keluarga.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakan mengambil keputusan untuk mendapatkan tiket bas untuk pulang ke kampung lebih awal kerana bimbang tiket sempena Aidilfitri habis dijual.

“Bila berada di tempat orang kita mesti berjaga-jaga supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini termasuk terpaksa beraya di perantauan.

“Bagi mengelak masalah sebegitu, saya mengambil keputusan mendapatkan tiket dengan segera walaupun puasa baru beberapa hari.

“Saya bernasib baik kerana tiket perjalanan pulang ke Kuala Lumpur masih ada dan saya tidak akan terlepas peluang beraya bersama keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Gembira tiket masih ada

SEORANG lagi pengguna pengangkutan awam bas ekspres, Norliana Arina Mohd Bukhari, 18, berkata, dia mendengar desas-desus mengatakan tiket pulang beraya sangat laris dan jika terlambat tiada lagi peluang untuk pulang ke kampung.

“Ini juga pengalaman pertama saya berada jauh daripada keluarga dan memang saya tidak mahu ketinggalan untuk beraya bersama mereka di Muar.

“Saya seronok kerana tiket bas masih ada dan dapat menumpukan perhatian kepada tugasan harian dengan tenang sekarang,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: