Partime Job

Tuesday 24 July 2012

Terkejut padang ragut 'hilang


BOTA - Seramai 20 ahli kelompok padang ragut Kampung Padang Tenggala dan Kampung Pendiat, di sini, terkejut apabila kawasan yang menjadi padang ragut ternakan mereka sejak 30 tahun lalu telah diratakan.

Pengerusinya, Shaidin Naemat, 59, berkata, padang ragut yang dijadikan kawasan ternakan secara berkumpulan itu telah diratakan awal Jun lalu oleh pihak tidak dikenali.

Menurutnya, pihaknya juga tidak dimaklumkan bahawa padang itu akan dibangunkan kerana pihak berkenaan datang secara mengejut untuk membersihkan kawasan berkenaan.

"Pagar yang dibina sudah diruntuhkan menyebabkan lembu lari dan kami khuatir akan merosakkan tanaman penduduk.

"Kami tidak setuju kawasan padang ragut ini diratakan kerana lembu-lembu tidak ada tempat untuk diternak," katanya.

Katanya, satu laporan polis turut dibuat bagi mengelakkan sebarang masalah timbul.

Penduduk difahamkan, padang itu akan ditanam dengan rumput dan jagung.

Seorang lagi ahli kelompok, Meor Syamsul Bahari Meor Shaharudin, 55, berkata, pihaknya khuatir lembu yang terlepas itu akan merosakkan tanaman penduduk.

“Kami juga memang bergantung kepada pendapatan hasil daripada ternakan lembu dan diharap supaya projek itu dihentikan,” katanya.

Katanya, besar harapan mereka supaya ketua kampung dan pihak-pihak berkenaan menyokong supaya kawasan itu dikekalkan sebagai padang ragut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, beliau akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengetahui masalah sebenar yang berlaku.

“Kita akan lihat kembali masalah ini dan akan mencari penyelesaian supaya masing-masing mendapat manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang dalam usaha membaik pulih padang ragut yang terbiar.

"Proses baik pulih ini memakan masa bagi memastikan ia boleh digunakan semula.

"Kerajaan turut merancang untuk memastikan ahli kelompok mendapat manfaat melalui penubuhan koperasi, penambahan haiwan ternakan dan sebagainya," katanya.

Mohd Nizar berkata, ia bagi memastikan setiap ahli kelompok dapat menambahkan pendapatan mereka dan tidak hanya bergantung kepada ternakan yang ada semata-mata.

“Namun, ahli kelompok harus memainkan peranan untuk sama-sama menerima perubahan dan berusaha bagi memastikan usaha itu mencapai matlamat,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: