Partime Job

Tuesday 24 July 2012

Suami buntu isteri hilang jam 2 pagi


KUANTAN – Di saat umat Islam sedang sibuk menyediakan juadah untuk bersahur awal pagi Sabtu lalu, seorang warga emas di Kampung Selamat di sini hilang arah apabila isterinya menghilangkan diri kira-kira jam 2 pagi pada hari tersebut.

Ismail Ibrahim, 67, berkata, isterinya Maimunah Jaafar, 52, yang mempunyai masalah kesihatan mental hilang tanpa disedari dan hingga kini masih belum ditemui.

“Ini merupakan kali pertama dia menghilangkan diri dari rumah dan sudah puas saya mencarinya di merata tempat, namun gagal menjejakinya.

“Sebelum ini dia pernah mengadu ada bisikan yang menyuruh dia lari dari rumah dan pernah beberapa kali dia menyatakan hasratnya itu pada saya, namun saya suruh di bersabar serta tidak endahkan bisikan tersebut.

Katanya, tidak disangka pada hari tersebut, isterinya benar-benar melarikan diri.

"Selama ini sebaik mungkin saya cuba mengambil hati dan tidak mahu mengguris perasaan dia kerana bimbang dia mengapa-apakan dirinya sendiri,” katanya.

Ismail berkata, sudah lima tahun isterinya itu mengidap masalah mental dan setiap hari perlu makan ubat bagi mengawal emosinya.

“Orang lain gembira berpuasa, tetapi tiada maknanya bagi saya apabila isteri tiada di sini. Setiap hari saya bimbang akan keselamatan dia kerana bimbang juga ada orang cuba menganiaya dia.

“Dengan mata kasar orang lain tidak tahu bahawa isteri saya ini mengalami masalah mental, tetapi saya bimbang apabila sudah lama tidak makan ubat, penyakitnya itu akan bertambah teruk,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap agar jika orang ramai menjumpai isterinya itu agar membawanya ke balai polis berhampiran.

“Saya harap dapat menjumpai semula isteri saya ini agar kami boleh bersama-sama menjalani ibadah puasa dan menyambut hari raya bersama-sama,” katanya yang telah membuat laporan polis di IPD Kuantan, kelmarin.

sumber : sinarharian

No comments: