Partime Job

Tuesday 3 July 2012

Puting beliung landa rompin

KUALA ROMPIN - Hasrat seorang peniaga kedai makan di Kampung Sepakat, memasang layar skrin bagi menyaksikan perlawanan akhir Kejuaraan Eropah 2012 (Euro) antara Sepanyol bertemu Itali, awal pagi tadi, punah apabila bumbung kedainya diterbangkan angin puting beliung, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, tiga khemah di Dataran Rakyat Kampung Sepakat, turut diterbangkan angin yang dikatakan datang secara mengejut hingga sebuah daripadanya tersangkut di atas pokok.

Selain itu, Pejabat Cawangan Logistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin juga mengalami nasib sama, apabila sebahagian bumbung bangunan diterbangkan angin kuat hingga serpihan bumbung jatuh bertaburan di atas jalan.

Akibatnya, sebuah kereta unit Cawangan Khas IPD Rompin rosak selepas cermin belakang kereta itu pecah dihempap serpihan bumbung terbabit.

Angin kuat yang melanda itu juga menyebabkan penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Sepakat, Kampung Kolam dan Kampung Bahagia, berdepan saat mencemaskan apabila kebanyakan bumbung rumah mereka diterbangkan angin.

Kejadian angin kencang itu adalah kali kedua berlaku dalam tempoh lebih dua bulan lalu, di mana kejadian sama pernah melanda dua kampung iaitu Kampung Tengah dan Pantai Hiburan.

Dalam kejadian 22 April lalu itu, seorang wanita dilaporkan terbunuh apabila ratusan pokok ru di Pantai Hiburan tumbang, manakala beberapa rumah turut rosak gara-gara angin pusar tersebut.

Kedai rosak teruk

SEORANG peniaga kedai makan, Mohd Razeri Mat Amin, 45, berkata, pada waktu kejadian, dia berada di rumah yang terletak di belakang kedainya, sebelum dikejutkan dengan hujan lebat dan angin kencang.

Menurutnya, dia hanya menyedari bumbung kedainya terangkat sebaik saja keluar ke kaki lima rumahnya dan melihat sendiri angin kuat menghentam bumbung kedai tersebut.

“Saya saksikan depan mata saya sendiri, atap bumbung kedai tercabut kira-kira lima meter dari kedai dan sebuah khemah tiba-tiba ranap hingga membuatkan saya beristighfar panjang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Razeri berkata, kerugian dianggarkan sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 berikutan beberapa barangan elektrik dan perkakas dapur kedainya rosak teruk.

“Saya reda dengan kejadian ini dan berharap ada pihak sudi bantu baiki kedai saya yang hampir 70 peratus rosak teruk,” katanya.

Bumbung rumah tercabut

SEORANG penduduk, Razali Awang, 60, berkata, kejadian itu mengejutkan ahli keluarganya kerana disifatkan paling dahsyat dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, sewaktu kejadian, dia berada di tingkat atas rumahnya sambil menunggu dua anaknya, Nurul Fazlin, 24, dan Nurul Farina, 25, yang sedang memasak di dapur.

“Nurul Fazlin tiba-tiba menjerit dan saya terus ke dapur. Ketika itu sebahagian bumbung dapur sudah ‘melopong’ kerana zink diterbangkan angin.

“Kejadian berlaku tidak sampai lima minit. Bilik tidur di bahagian atas pula dimasuki air,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azman Yusof, 44, berkata, kejadian itu disedari apabila seorang anaknya, Mohd Taufiq, 18, keluar dari biliknya dan memberitahu zink di bumbung sebelah tepi rumah mereka tercabut.

“Saya tak dengar bunyi zink jatuh kerana pada waktu itu saya hanya dengar bunyi hujan lebat sebelum seorang anak memberitahu bumbung biliknya tercabut,” katanya.

Zulkifli Abu Bakar, 24, pula berkata, dia sekeluarga nyaris ditimpa bencana apabila sebuah pokok temegu bersebelahan rumahnya tumbang.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga bernasib baik apabila pokok besar itu tumbang di hadapan dan bukan di tepi rumah.

“Pokok besar itu terletak dua meter sahaja dari rumah. Mujur ia tumbang ke hadapan, kalau ke tepi sudah tentu nyawa kami pula yang terancam,” katanya.

Mangsa diminta lapor polis

SEMENTARA itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Kapten (B) Mohd Johari Hussain dan bekas calon Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Mohd Fadzli Mohd Ramly, turun padang meninjau kawasan yang terlibat dalam kejadian ribut itu.

Walaupun berbeza ideologi politik, dua pemimpin itu dilihat saling bertukar pandangan demi membantu penduduk yang terjejas.

Mohd Johari berkata, semua mangsa bencana diminta membuat laporan polis bagi memudahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan.

Katanya, pihak JKM pula diminta mengambil data mangsa supaya bantuan dapat disalurkan segera.

“JKM perlu meneliti mana-mana rumah yang dilanda bencana supaya bantuan ini dapat disalurkan segera bagi meringankan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa tersebut,” katanya.

Mohd Fadzli berkata, Pas Dun Tioman akan menggerakkan ahli-ahlinya membaiki sebuah gerai makan di Kampung Sepakat dan pihaknya akan menanggung kos baik pulih tersebut.

“Kita sangat bersimpati dengan apa yang berlaku dan kita sudah menggerakkan ahli-ahli untuk membantu mengurangkan beban mangsa,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: