Partime Job

There was an error in this gadget

Thursday, 26 July 2012

Bayi maut tercampak


KUANTAN- Seorang bayi berusia setahun maut tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya setelah kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Temerloh- Mayam dekat Bera, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa Mohamad Aysisy Shfyi’ Mohd Rizail, 1, yang sebelum itu berada di pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kemalangan itu, ibu mangsa, Salma Mohd Sadali, 21 cedera parah apabila patah bahu dan terkoyak kulit muka.

Menurutnya, pemandu kereta Mohd Rizail Abd Kadir, 32 yang bertugas sebagai anggota tentera di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Kuala Lumpur dan seorang lagi anaknya, Qaseh Nur Syifa’, 2, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu lori, Mohamad Mazani Yusof, 27, dari Felda Bukit Goh dekat sini turut terselamat dan juga hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, empat sekeluarga dari Felda Sebertak itu dipercayai dalam perjalanan ke Felda Kumai dari arah Temerloh.

“Ketika sampai di lokasi nahas, lori yang dipandu Mohamad Mazani dari arah bertentangan hilang kawalan dan nyaris terbalik ketika cuba mengelak sebuah lori balak yang memotongnya di sebelah kanan.

“Tindakan pemandu lori terbabit mengelak ke kiri menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang imbangan memandangkan permukaan jalan di kawasan itu tidak rata,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, pemandu lori menekan minyak untuk masuk kembali ke laluan namun kenderaan tersebut tersasar ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dinaiki empat beranak itu.

“Akibat pertembungan itu, kereta jenis Proton Persona itu terseret beberapa meter manakala mangsa yang berada di pangkuan ibunya tercampak keluar melalui bahagian pintu depan sebelah kiri yang tercabut.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat manakala kedua ibu-bapa dan kakak mangsa turut dihantar menerima rawatan di hospital sama.

“Pemandu lori yang mengalami cedera ringan hanya mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Bandar 32, Bera,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa bayi terbabit masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber : sinarharian

No comments: