Partime Job

Friday 15 June 2012

Ugut jiran dengan pedang samurai

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh berlagak ‘hero’ dengan membawa bersamanya sebilah pedang samurai ke rumah jirannya, dipercayai hanya untuk membincangkan masalah tanah dalam satu kejadian di Kampung Temiang, Marang, Mei lalu.

Tindakan beraninya yang membawa senjata berbahaya itu mengundang padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan melakukan ugutan jenayah.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Shafie Abdullah, 37, dari Kampung Bukit Parit, Marang mengaku tidak bersalah melakukan ugutan jenayah membawa sebilah pedang dengan mengetuk pintu hadapan rumah bagi tujuan mencari ibu kepada Nur Izzah Batriesyia Osman, 15, pada 20 Mei lalu kira-kira jam 9 malam.

Mohd Shafie mohon dibicarakan atas kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aizat Ashari di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Noradila kemudian menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000.

Berdasarkan fakta kes, pada 20 Mei kira-kira jam 9 malam, mangsa sedang berada di rumah seorang diri sebelum dikejutkan dengan ketukan pintu rumah oleh Mohd Shafie yang mencari ibu mangsa.

Mangsa dalam ketakutan setelah ternampak Mohd Shafie sedang memegang sebilah pedang ala samurai itu memberitahu ibunya tiada kerana keluar pergi bekerja.

Bagaimanapun, Mohd Shafie memaklumkan kepada mangsa yang dia akan datang semula pada keesokan harinya kerana ingin berbincang sesuatu dengan ibunya.

Mangsa yang bimbang keselamatan keluarganya terancam memandangkan Mohd Shafie membawa senjata ke rumahnya telah mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Marang selepas itu.

sumber : sinarharian

No comments: