Partime Job

Friday 15 June 2012

Terengganu cadang masukkan sistem pengajaran Kafa dalam e-Book

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan pertingkatkan pengajaran guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dengan memasukkan sistem pengajaran Kafa ke dalam e-Book.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau mahu pengurusan Top IT Sdn Berhad iaitu syarikat yang mengeluarkan buku elektronik e-Book meminta kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai perkara itu.

"Kita mahu pertingkatkan pengajaran guru-guru kelas Kafa. Kita harap JAKIM benarkan sistem pengajaran Kafa dimasukkan dalam e-Book," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Guru-Guru Kafa negeri Terengganu (PERKAT) di sini hari ini.

Ahmad berkata kerajaan negeri akan melihat keperluan guru-guru Kafa dari semasa ke semasa walaupun ia di bawah kerajaan pusat.

"Apa yang perlu kita bantu, kita akan usahakan bagi memudahkan sistem pengajaran dan meningkatkan kecemerlangan pelajar negeri ini," katanya.

Sementara itu Ahmad berkata kerajaan negeri bercadang menjadikan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini sebagai hub haji dan umrah bagi jemaah Pantai Timur.

"Bermula tahun ini dua penerbangan umrah dari lapangan terbang itu terus ke Jeddah menggunakan pesawat Saudi Arabian Airline.

"Tahun depan kita telah bersetuju untuk membawa jemaah dari Terengganu ke Madinah sebanyak 21 penerbangan dengan menggunakan Airbus 350 yang boleh menampung 350 jemaah setiap penerbangan," katanya.

Ahmad berkata kerajaan Terengganu memohon 14 penerbangan menerusi lapangan terbang itu untuk tujuan haji tahun ini. Sebelum ini hanya lapan penerbangan membawa jemaah haji secara terus dari lapangan terbang itu. - Bernama

No comments: