Partime Job

Wednesday 27 June 2012

Telefon bimbit baru dibeli jadi penyelamat

SEGAMBUT – Telefon bimbit yang baru dibeli menjadi penyelamat seorang pekerja Bangladesh daripada menjadi mangsa belasah 10 penyamun yang memecah masuk bengkel tempatnya bekerja dalam kejadian jam 5 pagi, di sini kelmarin.

Mangsa, Mohd Ali, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang mengadakan kawalan keselamatan sebelum tiba-tiba sebuah lori merempuh masuk pintu pagar utama bengkel berkenaan.

Menurutny,a dia bergegas ke bahagian hadapan bagi melihat apa yang berlaku namun dua lelaki bersenjatakan batang besi tiba-tiba meluru dan cuba membelasahnya.

“Terdapat lapan orang lagi kawan mereka yang semuanya memegang parang dan besi di hadapan pintu pagar.

"Saya terus lari masuk ke dalam stor dan menguncinya dari dalam serta terus menghubungi rakan-rakan yang juga bekerja berhampiran menggunakan telefon bimbit,” katanya yang bekerja sejak lima tahun lalu.

Situasi panik itu reda apabila semua penyamun terbabit melarikan diri selepas melihat beberapa rakan mangsa datang membantu.

“Sebelum ini saya tidak pernah mempunyai telefon bimbit dan bersyukur kerana tuhan mengerakkan hati saya untuk membelinya sehari sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel, Lian Yong Sang berkata, syarikatnya sudah memasang kamera litar tertutup di premis itu bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Ini kejadian pertama berlaku dan keselamatan di bengkel kini dipertingkatkan berikutan nilai harga alat ganti agak mahal.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras BN Segambut, Jayanthi Devi Balaguru mahu kes kecurian yang semakin menjadi-jadi di kawasan itu ditangani sebaik mungkin oleh pihak polis.

sumber : sinarharian

No comments: