Partime Job

Friday 15 June 2012

Nenek melambung atas kereta, parah di kepala

PETALING JAYA – Gara-gara melintas lebuh raya yang sibuk, seorang nenek cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta sebelum dia melambung dan jatuh ke atas sebuah kereta Myvi dipandu seorang wanita dalam kejadian di Lebuhraya Persekutuan dekat PJ Hilton, pagi semalam.

Mangsa bernasib baik kerana tidak dilanggar selepas pemandu wanita terbabit sempat menekan brek bagi mengelak dari terus menggilis badan mangsa.

Bagaimanapun, sebuah Proton Wira yang berada di laluan sama tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian belakang kereta Myvi terbabit.

Pemandu wanita yang enggan dikenali berusia lingkungan 30-an berkata, dia terkejut apabila objek melambung yang disangkanya sampah ruparupanya adalah manusia.

“Perempuan itu melambung dan badannya jatuh di atas bonet hadapan manakala kepalanya terhantuk pada cermin,” katanya yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Shah Alam.

Pengguna jalan raya lain yang terlihat kemalangan cuba membantu mangsa sementara menunggu kehadiran anggota paramedik yang tiba 15 minit kemudian.

Mangsa didapati cedera teruk di bahagian kepala serta badan dan menerima rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa yang berusia dalam lingkungan 70-an itu.

Kejadian menyebabkan kesesakan sejauh kira-kira satu kilometer di lebuh raya berkenaan yang kemudiannya dikawal oleh anggota polis trafik.

sumber : sinarharian

No comments: