Partime Job

Friday 15 June 2012

Belasah isteri kerana rebut anak

KUALA TERENGGANU - Gara-gara berebut hak penjagaan anak, seorang suami sanggup membelasah isterinya sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam satu kejadian di Kampung Lama Seberang Marang, 25 Januari lalu.

Tindakan Mohd Alwi Ab Kadir, 28, dari Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, menyebabkan dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas isterinya, Tg Noor Nastasha Tg Mohd Nasir, 23.

Bagaimanapun, dia yang masih dalam proses penceraian dengan isterinya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan itu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Mohd Alwi yang bekerja sebagai buruh mengaku tidak bersalah dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap isterinya pada 25 Januari lalu kira-kira jam 1.30 tengah hari di Kampung Lama Seberang Marang.

Berdasarkan fakta kes, isterinya telah pergi ke Kampung Lama Seberang Marang untuk menghantar anak mereka kepada Mohd Alwi kerana sebelum ini, tertuduh memberitahu amat merindui anak mereka.

Bagaimanapun, Mohd Alwi telah mengugut isterinya yang dia tidak akan menyerahkan anak mereka selepas ini, sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.

Dalam pertengkaran itulah, Mohd Alwi gagal mengawal perasaannya lalu menumbuk isterinya, menyebabkan kecederaan bengkak di bahagian mata sebelah kiri.

Manakala di mahkamah yang sama, Mohd Alwi turut berdepan dakwaan melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan kepada Mohamad Sharul Nizam Mesri, 18, di tapak pasar malam Kampung Rhu Muda, Marang, 7 Jun lalu kirakira jam 7.15 petang.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu, Mohd Alwi turut mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aizat Ashari di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala Mohd Alwi tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Noradila menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang dan turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,300 bagi dua pertuduhan itu.

sumber : sinarharian

No comments: