Partime Job

Friday 8 June 2012

Bagaikan tsunami kecil, air naik mendadak



MUAR, JOHOR– “Seperti tsunami kecil.” Demikian kata Nazarul Hafezal Abd Razak mengenai kejadian ombak besar secara tiba-tiba di Restoran Kompeks Marina berhampiran Tanjung Emas, di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Pengurus Besar Kafe KGBT Sdn Bhd yang menguruskan Restoran Marina ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka angin kuat sekitar jam 7 malam itu, sebenarnya petanda kepada kejadian tersebut.

Menurutnya, pada mulanya beliau menyangka air yang melimpah di luar kawasan restorannya disebabkan air pasang biasa sahaja. “Namun pada jam 10.30 malam, air naik secara mendadak hingga mencecah paras betis dan memaksa pelanggan berlindung di dalam restoran.

“Kawasan di bawah dinaki air selama kira-kira 15 minit sebelum surut. Keadaan itu turut berlaku hingga ke kawasan letak kenderaan di hadapan restoran ini,” katanya. Nazarul berkata, kejadian air pasang besar itu kali pertama berlaku sejak setahun premis berkenaan beroperasi di situ.

“Saya sangat terkejut dan tindak menyangka kejadian ini berlaku yang mana air naik sehingga 0.25 meter,” katanya. Berikutan kejadian itu, premisnya yang biasanya beroperasi sehingga jam 2 pagi terpaksa ditutup awal. Menurutnya, pihaknya terpaksa menggunakan khidmat Unit Pantas Majlis Perbandaran Muar (MPM), untuk membantu membersihkan sampah sarap yang dibawa arus dari muara Sungai Muar sehingga memenuhi kawasan ini.

“Saya difahamkan kejadian ombak besar ini hanya berlaku setahun sekali di kawasan ini, mujur ia tidak mendatangkan apa-apa kecelakaan,” katanya. Dalam pada itu, Nazarul berharap kejadian tersebut tidak berulang lagi dan menganggap ia satu pengalaman yang menakutkan.

Tinjauan Sinar Harian petang semalam, mendapati keadaan kembali seperti biasa dan restoran berkenaan turut beroperasi. Salah seorang pelanggan yang hanya dikenali sebagai Azman, 30-an, berkata, dia turut menyifatkan kejadian itu seperti tsunami kecil.

“Walaupun tidak mendatangkan bahaya tetapi sedikit sebanyak memberi trauma kepada saya. “Sehingga saat ini, saya masih teringat ombak kuat setinggi satu meter sebelum melimpah ke kawasan restoran ini,” katanya.

Katanya lagi, sebaik melihat ombak besar itu, dia dan rakannya berlari menyelamatkan diri, walaupun belum sempat menikmati makanan yang baru dipesannya.

Difahamkan, kejadian itu turut melanda di beberapa restoran makanan laut dan rumah di Parit Jawa, yang berlaku kirakira selama satu jam. Ketua Polis Marin Muar, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, kejadian itu berpunca daripada keadaan air pasang yang tinggi melebihi 2.4 meter, di sepanjang kawasan pantai di sini.

Menurutnya, pada masa itu, keadaan arus di Selat Melaka kuat dan menasihati semua nelayan berwaspada.

sumber : sinarharian

No comments: