Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 29 May 2012

Pomen basikal naik angin, acu parang pada ibu

KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak berpuas hati terhadap tindakan bapanya yang secara tiba-tiba mengamuk dan membuang semua papan tanda pemberitahuan yang dipasang, seorang ‘pomen basikal’ sanggup menjadikan ibu kandungnya sebagai tempat melepaskan geram dalam satu kejadian ‘amuk’ di Kampung Wakaf Mempelam di sini, 21 Mei lalu.

Tertuduh, Zu@Mohd Zulkifli Salim, 37, telah mengacukan sebilah parang kepada ibunya yang juga seorang warga emas, 64, dengan menetak beberapa kali pagar besi rumah mereka semata-mata ingin melepaskan perasaan amarah terhadap tindakan bapanya sebelum itu.

Bagaimanapun, tindakan Zu@Mohd Zulkifli yang bekerja sebagai ‘pomen basikal’ itu terbalas jua setelah Mahkamah Majistret, di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Noradila Ab Latif selepas tertuduh mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan ketakutan secara jenayah dan melakukan khianat yang menyebabkan kerugian lebih kurang RM100 dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan itu, Zu@Mohd Zulkifli mengaku salah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah terhadap ibunya.

Berikutan pengakuan salah itu, dia dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula, dia mengaku salah melakukan khianat yang menyebabkan kerugian lebih kurang RM100 pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Zu@Mohd Zulkifli secara tiba-tiba mengambil parang dan memaki hamun ibunya sambil menetak parang di pagar besi yang menyebabkan ibunya berasa takut dan terancam.

Kejadian itu telah menyebabkan pasu bunga dan tanaman rosak serta pagar besi milik ibunya juga rosak dan pecah yang dianggarkan kerugian lebih kurang RM100.

Disebabkan takut dengan tindakan Zu@Mohd Zulkifli itu, ibunya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, selepas kejadian dan dia ditangkap sejurus laporan dibuat.

sumber : sinarharian

No comments: