Partime Job

Friday 4 May 2012

Nayati temui rakan selepas dibebaskan penculik


KUALA LUMPUR - Bertemu rakan sekolah dan membuat pemeriksaan perubatan adalah antara aktiviti Nayati Shamelin Moodliar dan keluarganya selepas beberapa jam dibebaskan penculik hari ini.

Biarpun enam hari trauma akibat diculik, Nayati kelihatan sudah mampu tersenyum dalam gambar bersama rakan sekolahnya yang dirakamkan oleh bapanya, Shamelin Moodliar dan disiarkan di laman Twitternya, Sham Moodliar.

Gambar Nayati diambil sedang berjalan pulang bersama rakan sekolahnya dari Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara, yang terletak berdekatan rumahnya di Mont Kiara Ten, di sini.

Dalam gambar terbarunya, Nayati, bertopi dan memakai t-shirt berwarna hijau sambil berpegangan tangan dengan rakan-rakannya.

"Nayati memilih untuk berjalan ke rumah," kata bapanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana usaha pasukan itu membawa anaknya pulang.

Nayati, 12, dilapor hilang dipercayai diculik dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara ketika berjalan berseorangan ke sekolahnya Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Nayati ditemui selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini pada pukul 7.55 pagi selepas keluarganya membayar wang tebusan semalam.

Polis kini sedang memburu penculik Nayati itu dengan menubuhkan satu pasukan khas untuk menanganinya.

Moodliar berkata Nayati ingin ke sekolah dengan secepat mungkin dan dalam pertemuan itu dengan rakannya, Nayati memeluk rakan dan gurunya.

"Semangat Nayati sangat kuat. Beliau meminta untuk ke sekolah dengan segera," kata ayahnya.

Terdahulu, Moodliar berkata anaknya juga telah menjalani pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada sebarang kecederaan. - Bernama

No comments: