Partime Job

Wednesday 2 May 2012

Mesin nyaris 'makan' kaki imam


MERBAU KUDONG - Minat mendalam imam Masjid Jamek Merbau Kudong, Mansor Awang, 68, menghasilkan hasil seni kreatif ukiran kayu tidak pernah padam biarpun hampir kehilangan kaki selepas terkena mesin pemotong dalam satu insiden dua minggu lalu.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia bernasib baik kerana kakinya tidak putus selepas mesin pemotong kayu itu tiba-tiba terlepas dari pegangan sebelum terkena kaki kiri.

“Saya sendiri tidak perasan bagaimana kejadian itu bermula, kerana ia berlaku terlalu pantas sekitar jam 6 petang dan sebaik mata mesin pemotong itu melekat pada kaki, saya pengsan.

“Saya menjalani pembedahan kecil menyambung kembali urat kaki yang putus dalam kejadian itu dan kini stabil walaupun masih mengalami kesakitan kesan luka,” katanya.

Mansor berkata, mesin pemotong kayu menggunakan kuasa elektrik itu digunakan sejak mula melibatkan diri dalam bidang berkenaan.

“Mungkin malang tak berbau apabila tiba-tiba mesin itu terlepas dari tangan dan mencederakan kaki saya.

“Bagaimanapun saya tidak akan serik untuk meneruskan minat membuat pelbagai ukiran dari kayu, biarpun hampir kehilangan kaki dalam kejadian tempoh hari,” katanya.

Turut hadir melihat keadaan Mansor di Kampung Merbau Kudong di sini, semalam ialah Pengerusi Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) Pulau Pinang, Farizan Othman dan suaminya Naib Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Zulkifli Yahaya.

Sementara itu, isteri Mansor, Hindun Othman, 64, berkata, ketika kejadian dia berada berdekatan suaminya.

“Sebaik melihat kejadian itu, saya segera memanggil anak untuk mencabut mata mesin dari kaki suami, mengeringkan darah dan menghantarnya mendapatkan rawatan di hospital.

“Syukur saya cepat melihat keadaannya, jika tidak mungkin mesin itu akan memutuskan kaki kirinya,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: