Partime Job

Friday 4 May 2012

Isteriku, mi Abu & mi Derga ...

Biasanya beginilah, balik dari kampung, terlalu banyak kenangan yang dibawa. Seperti baru pulang dari bertemu kekasih yang sudah lama tidak jumpa, kadang kala boleh terbawa-bawa dalam mimpi.

Minggu lepas, saya sempat bawa anak isteri balik kampung. Walaupun hanya tiga hari setelah lebih lima bulan tidak menjengah keluarga, ada juga beberapa pengalaman istimewa dilalui.

Saya tidak ingat bila kali terakhir saya makan kuih bengkang tepung beras, rasanya mungkin sudah lebih 10 atau 15 tahun. Tidak terkira betapa gembira sebaik sahaja tiba di rumah mertua petang 29 April lalu, kuih bengkang siap menunggu di meja.

Saya pun apa lagi, ‘balun’ sampai ‘tidak hengat’ (pinjam istilah golongan ‘new school’). Maklumlah, sudah berbelas tahun tidak jumpa!

Terimbau kenangan zaman budak-budak, setiap kali emak buat bengkang tepung beras, saya pasti pilih bahagian bingkainya - saya guna istilah ‘bingkai’ merujuk pada bahagian luar atau kulit yang berkerak - agak kehitaman.

Di samping rasa bengkang yang berlemak, bahagian yang berkerak itu memberikan saya keenakan yang luar biasa dan sukar hendak digambarkan dengan kata-kata.

Bukan tidak ada bengkang tepung beras dijual di pasar malam atau bazar Ramadan di Rawang atau Shah Alam namun terus terang, saya tidak yakin akan mendapat kepuasan yang serupa dengan menjamah bengkang yang dibeli berbanding buatan sendiri, sama ada daripada air tangan emak atau mertua.

Maklumlah, jika dibuat sendiri, santannya tidak berkira berbanding yang dibuat untuk jualan, sedangkan banyak atau sedikit santanlah yang akan jadi penentu keenakan.

Kuih bengkang yang tidak cukup lemak, memang tidak cukup ‘UMMMPPPHH’ kata orang.

Selain bengkang, pulang bercuti kali ini turut membawa saya ke warung mi goreng yang sudah lama saya dengar namanya tetapi inilah kali pertama saya berpeluang kunjungi Warung Mi Goreng Derga yang tidak jauh dari sekolah saya, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di Jalan Langgar, Alor Setar.

Selama ini, saya cukup setia pada mi Abu. Biasanya, walau balik ke Alor Setar sehari pun, saya pasti tidak lepas untuk bertandang ke kedai mi Abu sama ada di Jalan Telok Wan Jah ataupun Jalan Sultanah.

Teringat beberapa tahun lepas, saya pernah disoal siasat oleh isteri yang curiga kerana saya terlalu kerap ke Kedai Mi Abu. “Ada anak dara kut dok tunggu di kedai tu?” dia bertanya.

Saya jawab: “Mana ada anak dara... mamak tua yang dok goreng mi tu ada la ...”

Pada suatu malam tidak lama selepas insiden soal siasat itu, saya bawa isteri keluar dan kami singgah di Kedai Mi Abu.

Hendak jadi cerita, malam itu, ada tiga anak dara - yang memang cun melecun - jual nasi lemak di kedai itu.

Isteri pun apa lagi, “patutlah selama ni dok rajin mai (datang) sangat, ada anak dara lawa rupanya!”

Saya yang peluh sudah memercik di dahi cuba juga untuk menjawab: “Mana nak tau mi Abu katup (tutup) malam, ada orang jual nasi lemak tang ni (di sini). Sebelum ni, dok mai siang saja.”

Walaupun logik dan memang itulah kenyataannya, isteri nampak macam susah hendak terima penjelasan saya.

Hinggalah kemudiannya saya bawa dia ke Kedai Mi Abu pada waktu siang pula untuk membuktikan perkara yang sebenar. Dan akhirnya, dia pun jadi penagih mi Abu seperti saya juga.

Selepas ini, saya akan bawa dia ke warung mi Derga pula, sambil menziarahi semula tempat di mana cinta kami mula berputik zaman sekolah dulu.

Saya dan isteri bertemu ketika kami berada di tingkatan enam rendah pada 1989.

Itulah kenangan - sudah 23 tahun usianya - namun sesuatu yang sudah bertapak kukuh dalam hati kita, tidak akan berganjak kedudukannya walau apa jua halangan, ujian mahupun saingan.

Walaupun sudah ada yang baru, mi Derga, mi Abu saya tak akan lupakan. Ia tetap istimewa di hati saya selama-lamanya!

sumber : sinarharian

No comments: