Partime Job

Wednesday 4 April 2012

YBGK sedia khidmat guaman percuma


GEORGETOWN - Lebih 30 peguam akan berkhidmat dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Pulau Pinang bagi memberi khidmat percuma kepada golongan yang tidak berkemampuan di mahkamah.

Pengerusi YBGK negeri, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, operasi itu yang bermula semalam akan menyediakan khidmat guaman secara percuma kepada suspek yang ditahan polis dan bantuan guaman itu boleh dimanfaatkan dari peringkat tangkapan hingga perbicaraan.

Menurutnya, khidmat percuma itu diberi kepada suspek yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan namun jika tertuduh ingin menggunakan peguam sendiri adalah digalakkan.

"Kita akan mengendalikan semua kes kecuali yang berkaitan akta pencegahan, penculikan dan pemerdagangan manusia," katanya kepada media selepas melawat lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini semalam.

Turut hadir Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Assiten Komisioner Mohd Nasir Salleh.

Orang ramai yang memerlukan bantuan itu boleh menghubungi talian babas tol 1300 88 9245 atau pejabatnya 04-2610846.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri dan YBGK akan bekerjasama bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai dan memberi keadilan kepada suspek yang ditahan.

Beliau berkata, polis akan memaklumkan kepada YBGK jika ada sebarang tangkapan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan YBGK yang akan menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat kepada warganegara yang memerlukan di peringkat tangkapan, tahanan dan permohonan ikat jamin kecuali bagi hukuman mati.

sumber : sinarharian

No comments: