Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Usah malu periksa payudara

KUALA TERENGGANU – Golongan wanita di negeri ini yang berisiko tinggi menghidapi penyakit barah payudara diminta segera menjalani pemeriksaan bagi mencegah penyakit yang menjadi pembunuh nombor dua wanita di Malaysia selepas kanser serviks itu.

Malah, berdasarkan rekod yang dicatatkan setakat ini mendapati jumlah pesakit yang menghidapi kanser payudara menunjukkan peningkatan membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A Rahman Mokhtar berkata, sikap wanita khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar yang masih malu dan takut untuk menjalani pemeriksaan mamogram atau kanser payudara secara tidak langsung turut menyumbang kepada pertambahan pesakit berkenaan.

“Kita amat harap wanita khususnya yang berisiko tinggi iaitu memiliki ahli keluarga yang ada sejarah penyakit kanser untuk segera mendapatkan rawatan bagi mencegah menjadi lebih teruk.

“Ini kerana, kebanyakan wanita terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar lebih suka mendapatkan rawatan tradisional berbanding rawatan moden hingga mengakibatkan penyakit semakin teruk kerana tidak mendapatkan rawatan sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai melancarkan Program Gempur Subsidi Mamogram Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Justeru, beliau berharap masyarakat khususnya wanita segera mendapatkan rawatan dan dengan menjalani pemeriksaan sekiranya memiliki tanda-tanda awal penyakit itu agar mampu mencegah daripada menjadi lebih parah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau mengharapkan wanita tidak melepaskan peluang mengikuti program yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu dengan harapan mampu memberi perkembangan positif.

Turut hadir dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1, 000 wanita itu adalah Pengarah LPPKN Negeri Terengganu, Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee.

sumber : sinarharian

No comments: