Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 20 April 2012

Tambang tunai haji kekal RM9,980

SEPANG - Tambang untuk menunaikan haji tahun ini kekal pada RM9,980 seorang bagi jemaah haji kali pertama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, kuota jemaah haji Malaysia juga dikekalkan pada 28,000 orang selaras dengan persetujuan pada mesyuarat tahunan bersama Kementerian Haji Arab Saudi serta kementerian dan agensi lain yang berlangsung di Jeddah, dua hari lepas.

“Saya juga telah mengemukakan permohonan untuk mendapat tambahan kuota bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di negara ini mengerjakan Rukun Islam kelima itu,” katanya pada sidang media sejurus tiba dari Arab Saudi, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

"Saya yakin dengan kerjasama baik dan hubungan rapat kita dengan kerajaan Arab Saudi di peringkat Perdana Menteri dan hubungan saya bersama menteri yang baru dilantik (Dr Bandar Mohammed Al-Hajjar), insyaAllah akan membantu," katanya.

Mengenai tambang haji pula, Jamil Khir berkata kerajaan dan Lembaga Tabung Haji bersetuju mengekalkan tambang sedia ada sebagai satu keistimewaan kepada jemaah haji tahun ini, sekalipun kos penginapan meningkat 15 peratus berbanding tahun lepas.

Bagaimanapun katanya, bagi jemaah kali kedua seperti menemani isteri, suami, anak kurang upaya atau ibu bapa, tambang dikekalkan pada RM14,880.

Beliau berkata daripada lapan juta pendeposit Tabung Haji, 850,000 mendaftar untuk menunaikan haji tahun ini dan keutamaan adalah bagi mereka yang berusia 75 tahun ke atas.

Jamil Khir berkata penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia ialah pada 17 Sept dan yang terakhir pada 29 Nov.

Malaysia juga sudah menempah 16 hotel termasuk tiga hotel baru di Mekah untuk penginapan jemaah haji musim akan datang, selain empat hotel di Madinah, katanya.

"Mengenai urusan penerbangan pula, 50 peratus pesawat adalah dari Arab Saudi manakala baki 50 peratus lagi telah dibuka kepada 11 syarikat penerbangan untuk memasuki tender membekalkan pesawat untuk membawa jemaah haji kita, setelah tempoh perjanjian dengan Malaysia Airlines tamat," kata beliau.

Sementara itu, Jamil Khir berkata seorang daripada jemaah haji Malaysia pada musim haji lepas, Omar Din, 77, dari Kedah masih dirawat di Hospital King Abdullah, Arab Saudi akibat masalah jangkitan paru-paru dan sistem kencing.

"Sehingga kini pesakit masih koma. Isteri dan anaknya sudah datang menziarahi beliau pada 29 Feb lepas dengan tambang ditaja Tabung Haji.

"Kita juga mengucapkan terima kasih atas layanan baik diberikan hospital itu, malah semua kos perubatan ditanggung oleh kerajaan Arab Saudi," katanya yang mengambil kesempatan melawat Omar di hospital berkenaan.

Mengulas mengenai kes jemaah umrah terkandas atau ditipu agensi tidak bertanggung jawab, Jamil Khir berkata beliau akan mengadakan satu mesyuarat khas melibatkan semua agensi dan kementerian terlibat bagi membincangkan hal itu.

"Tabung Haji tidak terlibat dengan kes seperti ini dan ia tidak boleh dibiarkan terus berlaku.

"Tetapi kita tetap akan bantu jemaah yang terkandas, jemaah hilang atau jemaah hilang dokumen memandangkan kita mempunyai kelengkapan yang mencukupi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi," katanya. – Bernama

No comments: