Partime Job

Monday, 2 April 2012

Suri rumah pengsan diragut


KOTA BHARU – Seorang suri rumah terpaksa menempuh detik-detik cemas apabila terjatuh dari motosikal ditunggangi sebelum pengsan selepas beg tangannya diragut dalam kejadian di Kampung Chepa di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Siti Esah Mohd Noor, 33, cedera di siku, kaki dan lebam di lutut serta paha setelah gagal mengawal motosikal yang ditunggangi.

Siti Esah berkata, insiden tersebut berlaku semasa dia bersama jirannya, Rokiah Salleh, 53, dalam perjalanan ke rumah suami Siti Esah di Pengakalan Chepa di sini.

Katanya, ketika itu, dia menyedari sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki mengekori motosikal mereka sebelum menghampirinya dan tiba-tiba terus meragut beg tangan dalam raga motosikal.

“Saya tidak sempat melawan tetapi terkejut sehingga menyebabkan saya dan Rokiah terjatuh. Selain saya yang cedera dan pengsan, Rokiah turut sakit di bahagian dadanya dan luka di tangan. Kejadian disedari penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan berkenaan dan beg tangan saya gagal dilarikan. Peragut itu akhirnya berjaya melarikan diri,” katanya ketika lawatan Puteri Umno Kubang Kerian di rumahnya di Pasir Tumboh di sini, semalam.

Siti Esah berkata, dia dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat dan dibenarkan pulang selepas beberapa jam menerima rawatan.

“Saya bernasib baik kerana beg tangan yang mengandungi wang untuk perbelanjaan anak tidak diambilnya tetapi saya trauma dan kini takut untuk menunggang motosikal,” katanya

sumber : sinarharian

No comments: