Partime Job

Monday, 2 April 2012

Hasrat ibu tak kesampaian 'mahu besarkan rumah'


MUAR – “Angah, ibu nak mintak duit sikit untuk besarkan rumah,” demikian permintaan terakhir Rapiah Ahmad Musman, 45, kepada anak keduanya, Zulazri Abd Wahab, 20, sehari sebelum maut dalam kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, hasrat ibu tunggal kepada tiga anak itu tidak kesampaian apabila terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan di Batu 7 ½ Jalan Bakri-Air Hitam ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bakri, pagi semalam.

Zulazri berkata, ibunya sudah lama mempunyai impian mahu membaiki bahagian hadapan rumah pusaka peninggalan arwah datuknya.

Menurutnya, tetapi dia tidak dapat memberikan wang tersebut kerana mahu menunggu wang gaji pada awal April depan.

“Saya amat terkilan kerana tidak dapat penuhi impian ibu dan kini ibu sudah meninggal dunia dalam keadaan yang cukup tragis.

“Ibu meluahkan permintannya ketika kami makan malam bersama-sama yang turut disertai dua beradik yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jelasnya, pada malam sebelum kejadian ibunya kelihatan sedikit ceria dan lebih rancak berbual dengan kami berbanding malam sebelumnya.

“Saya juga menyedari ‘keanehan’ sikap ibunya apabila ibu turut berpesan supaya menjaga rumah dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, dia berasa hairan dan bertanya sebab ibunya berkata sedemikian, sebaliknya dia hanya mendiamkan diri.

“Pagi tadi (semalam) saya tidak sempat berjumpa ibu kerana seperti kebiasaan dia keluar bekerja pada jam 6.30 pagi dengan menaiki motosikal.

“Saya sangat terkejut apabila mendapat berita sedih itu pada jam 7.50 pagi daripada kakak sulung,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut dan kemalangan berlaku dipercayai motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta.

“Akibatnya motosikal mangsa hilang kawalan sebelum tercampak ke atas jalan dan diseret beberapa meter.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: