Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Subahat samun kakak ipar

NIBONG TEBAL: Seorang wanita bukan saja sanggup bersubahat dengan seorang lelaki untuk menyamun rumah kakak iparnya di Taman Cempaka, dekat Batu Kawan, kelmarin, malah turut mencederakan mangsa menggunakan pemutar skru.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, wanita berusia 32 tahun bersama seorang lelaki, datang ke rumah kakak iparnya yang berusia 45 tahun bagi mendapatkan pertolongan apabila mendakwa kereta mereka rosak.


Bagaimanapun, tiba-tiba wanita terbabit menarik kakak iparnya ke dalam sebuah bilik sebelum mengugut mencederakan mangsa jika tidak menyerahkan barang berharga dan wang tunai.

Mangsa yang ketakutan menyerahkan dua telefon bimbit, sebentuk cincin, dua gelang, dua rantai serta wang tunai RM2,500.


Masih tidak berpuas hati dengan apa diperoleh, wanita berkenaan naik berang lalu mencederakan mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan Honda CRV milik mangsa.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, mangsa mendakwa kerugian kira-kira RM125,000, termasuk kehilangan keretanya dalam kejadian itu.

Menurutnya, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB) kerana luka dan lebam di dahi, kepala, tangan dan leher.


“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, ibu mangsa berusia 62 tahun tidur dalam rumah berkenaan, tetapi tidak dicederakan.

“Mangsa mengesahkan wanita yang menyamunnya itu adalah adik iparnya, tetapi tidak mengenali lelaki berkenaan,” katanya.


Menurutnya, polis kini memburu wanita berkenaan bagi membantu siasatan serta berusaha mengenal pasti identiti lelaki terbabit.


Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui lokasi wanita terbabit, Zarina Begum Sujaudeen berusia 32 tahun, diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.


Alamat terakhir wanita berkenaan adalah di No 181, Jalan Bendahara, Happy Garden, Ipoh Perak.

sumber : mymetro

No comments: