Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 4 April 2012

Rumah, kereta dilempar cat


JOHOR BAHRU – Beberapa individu tidak dikenali bertindak liar dengan melempar bungkusan berisi cat berwarna hitam ke arah kediaman Ketua Pemuda Pas Johor Bahru, Mohd Ariff Mt Hassan di Jalan Padi 2, Bandar Baru Uda di sini, semalam.

Mohd Ariff berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, kira-kira 20 motosikal ditunggang perlahan di hadapan rumahnya sebelum dicampak cat berwarna hitam.

“Kebetulan ketika itu saya belum tidur. Curiga dengan kehadiran motosikal berkenaan, saya mengintai daripada tingkap dan ternampak seorang lelaki bertopi keledar melontar satu bungkusan,” katanya.

Menurutnya, beliau sempat keluar dan menjerit ke arah lelaki berkenaan sementara beberapa lagi penunggang motosikal bertindak melemparkan bungkusan berisi cat ke arahnya sehingga mengenai kereta dan dinding rumah.

“Saya cuba mengejar, namun mereka memecut laju. Saya bersyukur tiada sebarang kejadian buruk berlaku,” katanya yang tinggal bersama isteri dan empat anak.

Mohd Ariff berkata, beliau yakin ia satu tindakan provokasi oleh pihak tertentu dalam usaha menggagalkan ceramah yang dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, malam semalam.

“Sebelum ini lapan kain rentang dipasang di sekitar bandar raya ini dicantas pihak tidak bertanggungjawab,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tampoi pada hari sama.

Menurutnya, walaupun kejadian berkenaan berlaku kurang 24 daripada masa ceramah itu berlangsung, ia tetap diteruskan dan diadakan di kediamannya yang juga Pejabat cawangan Pas Bandar Baru Uda.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas negeri, Syed Othman Syed Abdullah menyifatkan kejadian berkenaan didalangi oleh individu tidak bertamadun kerana berasa tergugat kewibawaan Mat Sabu.

“Saya minta tindakan provokasi seperti ini dihentikan. Bagaimanapun kami tidak akan sesekali membatalkan ceramah yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kejadian terbabit manakala kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan

sumber : sinarharian

No comments: