Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Muflis jika mansuh hutang PTPTN

KANGAR: Negara boleh muflis jika cadangan memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) yang kini berjumlah RM40 bilion menjadi kenyataan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah hutang itu membabitkan angka yang besar dan bukan mudah sebagai sebuah negara membangun seperti Malaysia mahu melaksanakannya.


Katanya, pemansuhan berkenaan secara tidak langsung bererti semua kos pengajian pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) selepas ini perlu ditanggung kerajaan dan membabitkan jumlah perbelanjaan lebih besar.

“Saya lihat cadangan pemansuhan hutang PTPTN ini sebagai retorik parti pembangkang untuk mengaburi rakyat terutama di kalangan pengundi muda kerana ia bukan mudah dan agak mustahil untuk dilaksanakan.


“Bagi saya, bantuan kepada pelajar yang disalurkan sekarang amat memadai dan kita tidak mahu mereka hilang tanggungjawab dalam soal pendidikan jika semuanya ditanggung percuma,” katanya.


Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata demikian selepas merasmikan Program ‘Asperisasi 3 Tahun Tranformasi’ sempena ulang tahun ke-3 Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Karnival 1Malaysia Peringkat Perlis, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; barisan Exco negeri dan Ketua Pengarah Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman.


Ahmad berkata, pihak pembangkang kini riuh dengan cadangan memansuhkan hutang PTPTN sebagai strategi menarik pengundi menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 nanti.

sumber : mymetro

No comments: