Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 3 April 2012

Misteri pelajar koma lapan bulan belum terjawab


KUANTAN – “Demi Allah, saya dan suami tidak pernah berdendam dengan sesiapa pun, lepaskanlah anak kami. Kami sediakan memaafkan mereka sampai akhir hayat. Kami cuma mahu melihatnya kembali sihat,” itulah rayuan seorang ibu yang tidak sanggup lagi melihat anaknya terlantar tanpa suara.

Tidak ada yang lebih menyayat hatinya selain melihat anak lelaki sulungnya berada dalam keadaan koma lebih lapan bulan akibat satu peristiwa yang masih menjadi tanda tanya mereka sekeluarga.

Justeru, Raeshah Anuar, 40, sentiasa mengharapkan ada keajaiban melalui doanya setiap hari supaya anaknya Muhammad Hishamuddin Mohd Nadzri, 18, sedar dari penyakit itu dan kembali ceria bersama keluarga dan rakan-rakan.

Katanya, keadaan anaknya masih tidak sedar selepas tiga bulan dirawat di hospital tetapi dia tetap berkomunikasi dan mengharapkan anaknya mendengar dan membuka mata.

Menceritakan detik kejadian malang itu, ibu kepada lima anak itu berkata, dia menerima panggilan daripada seorang anggota polis yang memaklumkan anaknya berada dalam keadaan kritikal di Hospital Bentong selepas jatuh dari tingkat empat sebuah flat.

Bagaimanapun, atas permintaannya, anaknya dipindahkan ke Hospital Temerloh tetapi selepas melihat sendiri keadaan Hishamuddin, dia dan suami hairan kerana anaknya tidak mengalami sebarang luka atau tanda terjatuh.

“Kami hanya nampak dia berdarah di bahagian telinga dan hidung. Badannya juga tidak mengalami sebarang keretakan tulang atau patah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Datuk Abdul Rashid Salleh di sini, semalam.

Menurutnya, selepas beberapa rawatan, pakar mengesahkan anaknya mengalami pendarahan otak dan mengambil risiko tinggi jika pembedahan dilakukan.

Selepas perbincangan, bersama suami dan atas nasihat pakar, katanya, dia mengambil keputusan membawa anaknya pulang dan menjaganya sendiri selain dibantu ahli keluarga dan doktor Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Raeshah berkata, tidak berpuas hati dengan keadaan itu, suaminya, Mohd Nadzri Omar membuat dua laporan polis pada 18 Ogos 2011 di balai polis Bentong dan IPD Kuantan pada 2 November 2011.

Malangnya, sehingga kini dia mendakwa belum menerima status kes itu apa lagi keputusan yang boleh membantu mereka mendapatkan punca sebenar kejadian yang masih menjadi tanda tanya mereka sekeluarga.

“Selama 17 hari Hishamuddin dirawat di Hospital Temerloh, kami tidak menerima khabar dan maklumat atau diajak berbincang. Cukup jika kami tahu sama ada dia dipukul atau jatuh dari bangunan,” katanya.

Bagaimanapun, ibu pelajar Sekolah Menengah Teknik Bentong itu gembira dan tidak mengalami sebarang masalah dengan pihak sekolah yang memberi kerjasama selama anaknya dirawat.

Katanya, dia dan suami juga berusaha mendapatkan rawatan alternatif bagi memulihkan semangat anaknya di samping menjemput tukang urut tradisonal beberapa kali dalam tempoh sebulan.

“Kalau ada yang mungkin tidak senang dengan anak saya, maafkanlah dia dan kami juga tidak pernah menyimpan kemarahan kepada sesiapa. Niat di hati kecil kami hanya mahu melihat anak lelaki kami kembali seperti dulu,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: