Partime Job

Wednesday 18 April 2012

Mesti tahu menganyam sebelum kahwin


HOBI menganyam barangkali kedengaran pelik sekiranya dimiliki oleh masyarakat moden hari ini, tetapi tanpa kebolehan tersebut, anak gadis Orang Asli Mah Meri yang tinggal di Pulau Carey, Banting, Selangor dianggap seakan-akan tidak layak untuk mendirikan rumah tangga.

Begitulah gambaran betapa kuatnya masyarakat Orang Asli Mah Meri berpegang kepada budaya dan kepercayaan yang diturunkan oleh nenek moyang mereka. Apatah lagi, masih ramai susur galur keturunan masyarakat tersebut yang mendiami lima buah kampung di Pulau Carey.

Menurut salah seorang wanita Orang Asli Mah Meri, Julida Anak Uju, 43, wanita Orang Asli tidak dididik secara formal untuk mempelajari kaedah menganyam, sebaliknya mereka meniru apa yang dilakukan ibu mereka sewaktu kecil kerana tertarik dengan hasil-hasil anyaman yang dihasilkan.

"Semasa saya berumur 10 tahun, saya mula bermain-main dengan daun nipah dan mengkuang yang digunakan sebagai bahan utama anyaman.

"Sambil meniru cara emak membuat anyaman, akhirnya saya mahir menganyam dan dapat menghasilkan pelbagai rekaan anyaman. Ia ibarat sambil bermain, sambil belajar," katanya ketika ditemui di Pusat Kraftangan Kampung Sungai Bumbun, Banting sempena TS Day Out anjuran Tourism Selangor Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Menurut Julida, menganyam adalah salah satu budaya masyarakat Orang Asli Mah Meri yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi. Hasil anyaman tersebut banyak digunakan sebagai perhiasan untuk menghadiri majlis perkahwinan, acara-acara kepercayaan dan digunakan dalam persembahan kebudayaan.

"Bagi masyarakat Orang Asli Mah Meri, seorang gadis itu harus pandai menganyam dahulu sebelum berkahwin," katanya yang gemar menghasilkan anyaman burung, ikan, belangkas, bunga-bunga dan songkok.

Julida memberitahu, hasil kraf tangan wanita Orang Asli Mah Meri dikumpulkan dan dijual di pusat kraf tangan berkenaan atau dijual di kios kraf tangan yang dimiliki oleh ramai masyarakat Orang Asli Mah Meri berdekatan rumah mereka.

Elemen budaya

"Suami saya juga terlibat dengan pembuatan produk kraf tangan dan mempunyai kios barangan ukiran patung-patung yang dihasilkan untuk dijual kepada pelanggan terutama pelancong luar yang berkunjung ke perkampungan Orang Asli Mah Meri," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Anyaman dan Tarian Kampung Sungai Bumbun, Maznah Anak Unyan, 44, memberitahu, terdapat kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli Mah Meri yang mendiami lima buah kampung di Pulau Carey iaitu di Kampung Sungai Bumbun, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kepau Laut, Kampung Sungai Judah dan Kampung Sungai Kurau.

"Orang Asli Mah Meri amat mementingkan warisan budaya dan kepercayaan nenek moyang. Walaupun terdapat segelintir Orang Asli Mah Meri yang kini menganut agama Islam dan Kristian, tradisi menganyam dan mengukir merupakan elemen kebudayaan yang sukar dihilangkan.

"Wanitanya amat suka menganyam dan lelaki pula selain menjadi nelayan, bertani dan memburu hasil hutan, kebanyakan mereka mahir mengukir patung, hasil kerja tangan mereka mendapat perhatian dunia dan amat digemari oleh pelancong luar terutamanya dari Eropah," katanya.

Tarian Jo-oh

Menurut Maznah, hasil anyaman wanita Orang Asli Mah Meri banyak digunakan dalam persembahan kebudayaan terutamanya tarian kebudayaan Jo-oh yang bermaksud makan-makan dan minum.

"Dalam tarian ini, tiga buah lagu dipersembahkah iaitu Moyang Jabus, Shidut dan Hari Moyang yang sering dipersembahkan dalam majlis-majlis perayaan Hari Moyang, selepas menuai atau sekiranya mendapat jemputan daripada orang ramai.

"Lagu Moyang Jabus menceritakan mengenai seekor makhluk yang suka berjalan di belakang, mempunyai lubang hidung yang menghadap ke atas dan takut hujan kerana tidak mahu air hujan masuk ke lubang hidungnya, manakala Shidut bermaksud sesuatu yang tertumpah dan Hari Moyang adalah lagu yang dinyanyikan bagi memperingati nenek moyang dan melambangkan kepercayaan nenek moyang," jelas Maznah.

Katanya, persembahan tarian Jo-oh memerlukan lima orang penari wanita yang memakai pakaian khas dan perhiasan daun nipah serta mengkuang yang meliliti tubuh serta menghiasi rambut mereka. Tarian itu juga melibatkan seorang penari lelaki yang memakai pakaian sama dan topeng moyang Gunung Ledang yang kelihatan menakutkan tetapi unik

"Alat muzik yang digunakan pula adalah tuntong (buluh), tambo (gendang) dan tawuk (gong), manakala lagu dinyanyikan dalam bahasa Bersisik iaitu bahasa ibunda Orang Asli Mah Meri," katanya.

Maznah memberitahu, Hari Moyang adalah hari perayaan Orang Asli Mah Meri seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi masyarakat Islam. Mereka turut menyediakan makanan seperti ketupat dan ayam masak sambal sebagai hidangan istimewa semasa menyambut perayaan itu.

"Perayaan ini disambut mengikut kalendar Cina dan lazimnya diadakan sebualan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

"Pada hari berkenaan, upacara sembahyang akan diadakan untuk mendiang ahli keluarga sebelum upacara sembahyang di rumah moyang yang disebut pangga dalam bahasa Bersisik. Ia bukanlah rumah sebenar tetapi sebuah tempat khas di dalam rumah untuk upacara keagamaan bagi menyeru nenek moyang kembali ke rumah," katanya.

sumber : kosmo

No comments: