Partime Job

Thursday 12 April 2012

Menanti kepulangan suami


KUALA NERANG - Seorang isteri yang kini hamil anak ketiga masih setia menanti kepulangan suaminya dipercayai hilang selepas keluar bekerja pada Disember tahun lalu.

Tambah menyedihkan, kandungan berusia empat bulan itu hanya diketahuinya tiga hari selepas kehilangan suaminya itu.

Kebiasaannya, Nasrul Mohd Fadli Saat, 33, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Klinik Kesihatan Alor Setar akan tiba di rumah kira-kira jam 5 petang namun pada 20 Disember tahun lalu, dia tidak pulang ke rumah sehingga ke hari ini.

Isterinya, Siti Kholijah Ramli, 32, berkata, kira-kira jam 7.15 pagi, 20 Disember tahun lalu, suaminya itu keluar bekerja seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang perubahan.

“Pada pagi itu saya dan anak sempat bersalaman dengan suami sebelum dia keluar bekerja dengan menaiki motosikal,” katanya.

Hasil perkongsian hidup Siti Kholijah dengan Nasrul yang berasal dari Selayang, Selangor, pada 2005, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ainun Mardhiah, 6, dan Adni Nawar, 2.

Siti Kholijah yang juga seorang guru agama di sebuah sekolah di sini berkata, pada hari berkenaan beberapa panggilan­ dibuat antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari untuk bertanya beberapa perkara termasuk mengingatkan suaminya mengambil penyata gaji untuk permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Semua panggilan saya dijawab termasuk memberitahu akan memberi penyata gaji selepas pulang bekerja.

“Bagaimanapun panggilan kira-kira jam 4 petang untuk memaklumkan saya akan ke Alor Setar untuk menziarahi ibu saudara yang akan ke Sabah tidak dijawab biarpun cubaan menghubunginya dibuat lebih 10 kali selepas itu,” katanya.

Siti Kholijah berkata, dia terus menghubungi suaminya itu beberapa kali pada malam terbabit namun talian telefon suaminya terus masuk ke peti mel suara.

Menurutnya, bimbang dengan apa yang berlaku, dia bertindak pergi ke tempat suaminya bekerja keesokan harinya namun dimaklumkan bahawa suaminya tidak datang bekerja dan terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Nerang pada malam sama.

Siti Kholijah berkata, suaminya itu seorang pendiam, malah sepanjang tujuh tahun berumah tangga, mereka hidup bahagia.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Nasrul boleh menghubungi Siti Kholijah di talian 019-4250758 atau bapa mertuanya, Saat (016-6010717) atau mana-mana balai polis berhampiran.

sumber : sinarharian

No comments: