Partime Job

Monday 2 April 2012

Menambah baik mini Parlimen Temerloh

Pada 17 Mac lalu, saya mempengerusikan persidangan keenam Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT). MPPT ialah mini Parlimen peringkat tempatan dan akar umbi yang dianggotai perwakilan sektor-sektor kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil untuk membincangkan pembangunan kawasan Parlimen Temerloh.

Objektif MPPT ialah, pertama, menerangkan dasar dan program serta meningkatkan sistem penyampaian kerajaan; dan kedua, mendapatkan idea serta pendapat rakyat untuk membentuk dasar dan program pembangunan komuniti tempatan, khususnya dan negara amnya.

Pelaksanaannya merupakan penghayatan “kerangka governans baru”, iaitu sebahagian daripada kandungan buku saya, Politik Baru (2008). Ia juga sebahagian daripada Enam Bidang Pembangunan Tumpuan (6BPT) yang menjadi manifesto saya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Di samping itu, dalam amalan demokrasi hari ini, partisipasi rakyat tidak terhad hanya kepada membuat pemilihan dalam PRU semata-mata. Sementara itu, terdapat sebahagian rakyat yang sinis dan skeptikal terhadap politik, namun masih percaya kepada demokrasi, dengan syarat dilakukan reformasi terhadap demokrasi. Justeru, perlu dilakukan inovasi demokrasi.

Matlamat inovasi demokrasi ialah untuk meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan. Antaranya mengamalkan “demokrasi partisipatif”’ dan “demokrasi deliberatif”. MPPT ialah inovasi demokrasi. Ia mini Parlimen yang bersifat partisipatif dan deliberatif.

MPPT membincangkan pembangunan tempatan dari dua segi. Pertama, ia meliputi 6BPT, iaitu pendidikan dan latihan, kecerdasan dan kebajikan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosiobudaya, partisipasi dan masyarakat sivil serta frasarana dan kemudahan awam.

Kedua, ia meliputi Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA) – Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) versi Temerloh – iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan kualiti pendidikan, meningkatkan pendapatan isi rumah dan kemudahan awam luar bandar serta memperbaiki pengangkutan awam bandar.

Dari semasa ke semasa, MPPT melakukan penambahbaikan. Contohnya, mulai persidangannya yang kelima, keanggotaannya ditambah menjadi 150 orang (daripada 60 orang pada persidangan pertama); bidang pertanian, pembangunan luar bandar dan koperasi dijadikan agenda tetap; media sosial digunakan untuk meluaskan partisipasi rakyat; dan sebahagian daripada peruntukan Ahli Parlimen Temerloh, iaitu bermula dengan RM60,000, diserahkan untuk diuruskan MPPT.

Kad Laporan Ahli Parlimen Temerloh, iaitu tentang pencapaian 6BPT, TKRA dan sebagainya, saya laporkan kepada setiap persidangan MPPT serta diedarkan kepada media dan orang ramai.

Sebahagian besar daripada matlamat dan keputusan MPPT telah dapat dilaksanakan dengan baik manakala terdapat juga beberapa perkara yang masih dalam proses pelaksanaan.

Bagi meningkatkan keberkesanannya, pada Mac lalu, saya telah melantik pasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai Dr Sarjit Singh untuk membuat kajian terhadap MPPT.

Menurut kajian tersebut, bagi ahli-ahli MPPT, persepsi terhadap MPPT adalah positif (88.4 peratus), penilaian terhadap Ahli Parlimen Temerloh adalah tinggi (80.2 peratus), manakala penilaian terhadap 6BPT dan TKRA adalah sederhana, iaitu 52.3 peratus dan 55.5 peratus.

Ahli-ahli juga memberikan 11 cadangan penambahbaikan MPPT yang menyentuh, antaranya, meluaskan keahliannya, mempercepatkan pelaksanaan program pembangunan, laporan bertulis, komitmen ahli, kerjasama antara agensi, persidangan lebih kerap dan pemantauan program pembangunan.

Kajian lebih meluas sedang dijalankan. Dapatannya akan digunakan untuk meningkatkan prestasi saya sebagai Ahli Parlimen dan keberkesanan MPPT. Semoga rakyat mendapat nikmat pembangunan lebih tepat, cepat dan berkat.

sumber : sinarharian

No comments: