Partime Job

Thursday 5 April 2012

Melihat Titanic dari dimensi berbeza

TENTU ramai masih ingat filem Titanic atau setidak-tidaknya, lantunan suara Celine Dion dalam My Heart Will Go On. Mana mungkin peminat sejati filem boleh lupa kisah cinta antara dua darjat antara Rose DeWitt Bukater dan Jack Dawson?

Daripada kaca mata James Cameron, ia kisah cinta yang pernah tertulis di atas R.M.S. Titanic - binaan teragung kebanggaan syarikat White Star Line yang kini terkubur di dasar Lautan Atlantik Utara atau lebih tepat lagi sedalam 12,378 kaki di bawah paras laut berkenaan.

Selepas 15 tahun filem James Cameron itu ditayangkan di layar besar dan meraih kira-kira AS$1.8 billion di seluruh dunia, tahun ini Titanic muncul semula di pawagam namun dalam dimensi yang berbeza, demi mengejar ‘trend’ semasa.

Bukan lagi 2D, Titanic kembali ditayangkan dalam versi digital 3D, satu lagu kepakaran ‘state-of-the-art’ daripada Cameron melalui teknologi tercanggih Fusion Camera System yang kini menjadi pelopor bagi ‘stereoscopic camera system’.


Kecuali format dimensinya yang jauh berbeza, semuanya masih lagi sama. Wajah, lakonan dan babak-babak dalam Titanic kekal klasik, seadanya.


Babak ekspedisi kapal selam mencari khazanah Titanic, babak kemuncak apabila kapal ‘unsinkable’ itu terputus dua serta babak Jack melukis potret Rose dalam hanya memakai kalung berlian biru Heart of the Ocean - semuanya kekal menjadi ‘trademark’ filem itu.

Dalam kesibukan tugas di Balai Berita, pagi Khamis lalu, saya masih sempat lari sekejap untuk melihat previu Titanic 3D ini di Mid Valley bersama beberapa rakan wartawan lain. Tempoh tayangannya juga kekal sama iaitu kira-kira tiga jam.

Kadangkala rasa macam tidak percaya filem itu sudah berusia 15 tahun. Rasa macam baru semalam saya tonton Titanic di Komtar, Pulau Pinang. Selepas itu saya ulang tonton dua kali pula di KL. Namun itulah kelebihan karya ‘period movie’ kerana semua kisah dalam filem itu berlaku pada dekad lampau, jadi ia tidak mudah nampak basi.

Namun kalau filem semasa atau sains fiksyen, sudah tentu kita akan terasa apa yang pernah kita tengok dulu itu sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman, contohnya Robocop atau filem James Bond, The Spy Who Loved Me.

Kita tahu Cameron sukakan cabaran sejak dia menghasilkan Avatar. Itulah filem 3D terhebat dalam sejarah Hollywood. Namun Cameron sedar ketika dia menghasilkan Titanic, teknologi Avatar belum ada, jadi dia mahukan sesuatu yang hebat berlaku kepada Titanic apabila April ini, masuk 100 tahun tragedi R.M.S Titanic tenggelam di Lautan Atlantik Utara selepas terlanggar bongkah ais di tengah malam.

Pihak Paramount Pictures, Twentieth Century Fox bersama Lightstorm Entertainment Production juga percaya tatkala Titanic mula-mula ditayangkan pada 1997, mereka yang baru lahir ketika itu kini sudah pun berusia 15 tahun.Jadi, generasi selepas saya sekarang akan berpeluang melihat Titanic dalam format yang lebih canggih di layar besar dan pastinya sebahagian daripada kita yang sudah menonton pun boleh tergerak hati untuk pergi menontonnya sekali lagi.

Terus terang, saya ingatkan apabila melihat semula, baru-baru ini saya akan rasa biasa saja, namun pada penghujung cerita apabila Jack sudah membeku dan dilepaskan daripada genggaman Rose ke dalam lautan, tiba-tiba hati saya jadi sayu.

Dan dalam babak seterusnya apabila Rose yang sudah berusia 84 tahun lelapkan mata dan bermimpi bertemu semula Jack dalam kapal mewah itu, air mata saya tidak dapat tertahan lagi. Memang skor muzik oleh James Horner dan melodi My Heart Will Go On itu memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu Titanic menjadi sebuah filem besar.

Bagi saya, itulah juga antara formula yang diguna pakai oleh Osman Ali dalam menghempaskan Ombak Rindu kepada peminat di negara kita.

Kalau kita kaji, filem-filem antara dua darjat sebegini menjadi taruhan bukan saja di zaman P Ramlee tetapi juga kepada James Cameron dan Osman Ali. Biasalah, kuasa, darjat, harta dan pangkat adalah hasutan-hasutan halus dari sisi gelap dalam segelintir manusia yang tertunduk pada nafsu.

Dalam Titanic sendiri, ia memaparkan cinta gadis bangsawan kelas pertama dengan budak lelaki kelas ketiga. Ternyata cinta tidak dapat memisahkan mereka sehingga semuanya berakhir dengan tragedi. Akhirnya filem itu membawa 11 Oscar kepada Cameron.

Kita tidak tahu lagi, selepas Titanic, apakah akan muncul filem lain sehebat itu. Adakah ia akan datang daripada Cameron sekali lagi atau pengarah Hollywood yang lain? Apapun bagi anda peminat Titanic baru dalam lama, nantikan tanggal 5 April ini di pawagam.


sumber : mymetro

No comments: