Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Maut dilanggar lokomotif


KOTA BHARU - Seorang lelaki terbunuh manakala 12 lembu mati akibat dirempuh sebuah lokomotif tanpa gerabak dalam dua kejadian berasingan di Pasir Mas dan Kuala Krai, dekat sini, semalam.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Fazil Ismail berkata, kejadian pertama berlaku antara Stesen Kuala Krai dan Temangan apabila lokomotif itu melanggar sekumpulan lembu pada jam 3.06 pagi.

Kira-kira sejam kemudian katanya, lokomotif sama yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Tumpat melanggar seorang lelaki di antara Stesen Tanah Merah dan Pasir Mas pada jam 4.07 pagi.

“Mangsa yang cedera parah di kaki kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 pagi dan jenazah dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas kira-kira jam 8 pagi. Lokomotif terlibat dari jenis ‘light engine’ iaitu lokomotif sahaja tanpa gerabak dan ketika kejadian, kenderaan ini membawa pemandu dan pembantu pemandu,” katanya.

Mohd Fazil berkata, laporan kemalangan dibuat pemandu lokomotif kepada ketua stesen berdekatan dan siasatan lanjut punca kejadian akan dilakukan Bahagian Depoh dan Keselamatan KTMB.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, identiti mangsa berusia lewat 20-an terbabit belum dikenal pasti kerana tidak membawa sebarang pengenalan diri.

Katanya, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna hijau, kain pelikat berpetak merah putih, selipar Jepun dan juga kopiah yang dijumpai di tempat kejadian di sebuah kawasan terpencil di Kampung Lemal, Pasir Mas .

“Berdasarkan keadaan kaki kanan putus dan kaki kiri pula hampir putus, mangsa dipercayai berbaring atas landasan sebelum kejadian dan akibat rempuhan, mayat mangsa tercampak lebih tujuh meter ke dalam semak,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian melibatkan lembu di Kampung Bedal, dekat Kuala Krai pula mendapati, pelanggaran menyebabkan 12 lembu dewasa dan anak lembu mati dengan seekor daripadanya diseret sejauh lebih 500 meter. Haiwan ternakan dipercayai kepunyaan lebih seorang pemilik itu dikatakan sering dilepas berkeliaran di kawasan kelapa sawit berhampiran landasan berkenaan.

Eksekutif Operasi KTMB Tumpat, Zaid Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, laluan antara Kuala Krai-Tanah Merah dan Pasir Mas antara lokasi kerap berlaku kejadian lembu dilanggar kereta api dan terjadi tanpa mengira masa.

sumber : sinarharian

No comments: