Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Gegaran kuat kejutkan tidur


GUA MUSANG - “Gegaran kuat menyebabkan kami tersedar dari tidur, sebelum bergegas keluar bersama anak dan isteri kerana bimbang rumah akan runtuh sebelum menyedari hanya jalan yang runtuh,” kata Zamri Along, 34, penduduk Orang Asli yang melalui detik cemas apabila jalan utama berhampiran rumahnya runtuh, awal bulan lalu.

Namun, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi , 4 Mac itu, di penempatan Orang Asli, Pos Sendrop, dekat sini, Zamri kembali mendiami rumah selepas membuat siasatan jalan yang runtuh itu tidak menjejaskan rumahnya, walaupun hanya terletak 20 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian itu berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pengusaha kebun sayur, mengalihkan aliran sungai untuk memperluaskan kawasan tanaman sayuran­ tanpa menghiraukan keselamatan penduduk di situ.

“Pengguna jalan berkenaan­ khususnya penduduk tempatan berdepan dengan perangkap maut, kerana separuh jalan sudah runtuh dan jika tidak segera dibaiki boleh menjejaskan rumah yang berhampiran.

“Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan menyebabkan arus anak sungai kuat sekali gus meruntuhkan tebing jalan berkenaan hingga jalan itu tidak selamat dilalui,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mujur ketika kejadian tidak ada penduduk yang melaluinya, jika tidak mungkin ada yang terjatuh ke dalam anak sungai berkenaan sekali gus dihanyutkan arus deras.

Sementara Tipah Busu, 40, pula berkata, bunyi dentuman kuat ketika hujan lebat awal pagi itu, menyebabkan rumah penduduk berhampiran turut bergegar dan tidak sangka rupa-rupanya jalan yang runtuh hingga mencemaskan orang ramai.

Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada sikap tamat pengusaha sayuran dengan memperluaskan kawasan tanaman, hingga sanggup menutup laluan air sungai dan memindahkan pengaliran­ air ke kawasan lain berhampiran tepi jalan.

“Saya bimbang dengan nasib penduduk Orang Asli di kampung terbabit yang mungkin berdepan dengan hakisan tanah, dan kini kedudukannya seperti sebuah pulau kerana dikelilingi dengan kebun sayur milik pengusaha dari luar Kelantan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: