Partime Job

Monday 2 April 2012

Mangsa serik untuk ke Hatyai

HATYAI (Selatan Thailand) – “Bunyi letupan sangat kuat dan serpihan kaca yang pecah terkena saya dan isteri menyebabkan kami tersembam ke tanah.”

Itulah detik cemas dilalui oleh seorang rakyat Malaysia, Choo Kok Boon, 46, bersama isterinya yang cedera dalam kejadian letupan bom dalam kereta di pusat beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza di sini kelmarin.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Kok Boon memberitahu, ketika letupan berlaku, dia dan isteri, Som Khid Lauyut, 37, yang merupakan rakyat Thailand sedang berjalan untuk menuju ke kenderaan mereka yang diletakkan di tepi pusat beli-belah di plaza tersebut sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

“Kalau saya cepat seminit (membeli barang) mungkin kami tidak tercedera dan selamat pulang ke Malaysia.

“Tetapi kami tidak bernasib baik semalam (kelmarin). Selepas letupan itu berlaku, saya nampak kepulan asap tebal dan orang ramai mula menjerit,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Rajyindee di sini semalam.

Menurut Kok Boon yang bekerja sebagai peniaga di Kuala Lumpur, ekoran letupan itu, dia dan isteri cedera di kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki akibat terkena serpihan kaca.

Kok Boon memberitahu, selepas terjatuh dia dan isteri sempat berlari menyelamatkan diri ke kawasan berhampiran sebelum dibawa ke hospital.

“Saya tengok doktor mengeluarkan puluhan serpihan kaca di tubuh saya sebelum luka-luka itu dijahit,” katanya yang serik untuk pergi ke Hatyai lagi selepas tragedi ini.

Kok Boon datang ke Hatyai bersama isterinya pada Jumaat lalu untuk mengirim barang kepada keluarga mertuanya di daerah Chiang Mai, Thailand.

Sementara itu, seorang lagi mangsa rakyat Malaysia, Mimi Ng, 35, berkata, dia tidak menyangka kegembiraannya pertama kali menjejak kaki ke Hatyai membawa detik hitam apabila dia lemas akibat terhidu asap tebal ketika terperangkap di tingkat 16 pusat beli-belah tersebut.

sumber : kosmo

No comments: