Partime Job

Friday 13 April 2012

Makan, tidur dalam kenderaan

JOHOR BAHRU – Selepas berjaya melakukan Kembara Penjelajahan Tahan Lasak Seorang Pesakit Diabetes Secara Solo ke China, tahun lalu, kini misi seterusnya anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) ini adalah untuk ke Mongolia.

S Aruel Prakash, 44, berkata, kali ini beliau nekad melakukan kembara secara solo dengan jarak lebih jauh dan berhasrat berjumpa dengan 10,000 pesakit diabetes.

“Matlamat penjelajahan kali ini lebih besar sama ada ke Mongolia atau India dengan sasaran untuk berjumpa dengan pesakit bagi memberi kesedaran dan motivasi buat mereka.

“Sebagai pesakit diabetes sejak 26 tahun lalu, saya mahu menyedarkan bahawa mereka (pesakit) boleh hidup dengan penuh yakin jika mengamalkan pemakanan seimbang dan menjalani gaya hidup sihat dengan senaman dan memeriksa kadar gula setiap hari,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kembara kali ini merupakan yang kelima buatnya, di mana sebelum ini beliau melakukan kembara yang sama ke Thailand, Myanmar, Kemboja dan China.

“Saya berhasrat ketika kembara kali ini, saya mahu mengedarkan 3,000 glukometer kepada pesakit diabetes di negara ini dan menjangkakan akan mengedarkan alat itu di sepuluh perhentian sebelum bergerak ke negara seterusnya.

“Saya berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merealisasikan hasrat itu, sekali gus menyahut seruan melahirkan penduduk yang sihat,” katanya.

Sepanjang perjalanan itu nati, Prakash menggunakan kereta pacuan empat roda dan memasak sendiri makanan serta berehat dan tidur dalam kenderaan itu bermula dari Johor Bahru sekitar Jun depan.

Beliau kemudian akan singgah di Thailand, Laos dan China untuk ke destinasi matlamat iaitu Mongolia atau ke India dengan melalui Thailand dan Myanmar.

Pada 2007, Prakash melakukan pengembaraan solo pertamanya dari Johor Bahru ke Thailand dan Kemboja dalam masa tujuh hari dan pada 2008 pula mengembara dari sini ke Myanmar dalam masa lapan hari.

Kembara ketiga adalah tahun lalu dengan menjelajah empat negara iaitu dari sini ke Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja dalam masa 13 hari dan ke China tahun lalu dalam tempoh 14 hari.

sumber : sinarharian

No comments: