Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Kembar lemas jala ikan

NIBONG TEBAL: “Saya cuba tarik tangannya, tetapi tidak berupaya, saya juga tidak berani terjun ke dalam sungai bagi menariknya kerana tidak tahu berenang,” kata Muhd Amirul Rosli, 16, adik kembar kepada Muhd Taufik yang mati lemas selepas tergelincir ketika cuba melepaskan jala yang tersangkut kayu di Sungai Kerian di Kampung Ampang Jajar, kelmarin.

Melihat abangnya dibawa arus, dia terus mendapatkan bantuan sepupu yang tinggal tidak jauh dari sungai dan sepupunya yang bergegas ke sungai, terjun serta menyelam bagi mencari Muhd Taufik tetapi gagal.


“Saya tidak sangka abang yang kelihatan gembira sejak beberapa hari lalu, meninggalkan saya dan keluarga buat selama-lamanya,” katanya yang tinggal bersama abang serta emaknya selepas bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, Mei tahun lalu.

Dalam kejadian itu, Muhd Amirul dan Muhd Taufik bersama sepupu mereka yang berusia 12 tahun, pergi menjala di sungai berkenaan yang terletak 10 meter dari rumah jam 4.15 petang.


Selepas mendapat beberapa ekor ikan, Muhd Amirul berehat di tebing sungai manakala Muhd Taufik dan sepupunya yang juga berada di tebing, cuba melepaskan jala mereka yang tersangkut pada kayu.


Bagaimanapun, Muhd Taufik dikatakan gagal mengimbangi dirinya lalu tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Polis yang menerima laporan pada jam 5 petang, mendapatkan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal bagi mengesan mangsa.


Anggota Unit Skuba bomba gagal menemui mangsa selepas menyelam di sekitar kawasan dia dilaporkan terjatuh sebelum operasi menyelamat dihentikan jam 7 malam.

Bagaimanapun, operasi mencari mangsa yang bersambung jam 8.14 pagi semalam menemui mayat mangsa tertiarap enam meter di dasar sungai.

sumber : mymetro

No comments: