Partime Job

Thursday 12 April 2012

Kecewa RM300 dalam akaun hilang

KULIM - Seorang penuntut perempuan berusia 19 tahun yang menuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di sini, terkejut apabila mendapati wang simpanannya di dalam sebuah bank telah dikeluarkan sebanyak RM300.

Mangsa, yang cemas dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan di bank terbabit dan menyatakan dia tidak mengeluarkan sejumlah wang itu.

Namun, kakitangan bank yang menerima aduan tidak mengendahkan masalah mangsa, sebaliknya menuduh mangsa cuai dan kad ATM miliknya mungkin digunakan orang lain.

Menurut mangsa, tuduhan pihak bank terhadapnya adalah tidak benar dan menyifatkan diri teraniaya.

“Kakitangan bank itu kata saya hanya boleh buat laporan, tetapi duit tidak akan dikembalikan kerana terdapat transaksi menunjukkan duit itu dikeluarkan.

“Saya keliru dengan masalah ini kerana ia pernah berlaku pada rakan lain, terutama apabila duit pinjaman yang kami buat dimasukkan.

“Sebagai penuntut saya juga sangat kecewa kerana bank langsung tidak mahu menyiasat kes penipuan ini,” katanya.

Mangsa berkata, baginya jumlah wang yang hilang itu sangat besar kerana masih menuntut, malah bapanya hanya seorang nelayan.

Kecewa dengan sikap bank, mangsa bertindak berjumpa Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim dan menceritakan segala masalah dihadapinya.

Sementara itu, Mohd Zailan berkata, mangsa perlu membuat laporan polis terlebih dahulu untuk membolehkan laporan kehilangan duit itu dipanjangkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna di Pulau Pinang.

Menurutnya, sebelum ini, kes sama pernah berlaku dan siasatan polis mendapati kakitangan bank dan sindiket yang memalsukan kad ATM terlibat.

“Masalah ini bukan perkara baru, malah jenayah kolar putih ini berlaku sejak dulu lagi. Polis berjaya menahan individu dan kumpulan terlibat dalam jenayah ini.

“Sehingga kini masalah kehilangan duit dalam akaun bank masih berlaku dan berharap siasatan terperinci dapat dijalankan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Beliau menasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis dan perkara sama akan dipanjangkan kepada kementerian terlibat.

“Bagi seorang pelajar yang datang dari keluarga yang daif, RM300 sangat berharga kepada mereka,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: