Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Kecewa kereta masih tersadai

HATYAI, SONGKHLA: “Kami kecewa dan tangan kami ‘terikat’ kerana tidak dapat melakukan apa-apa disebabkan polis Thailand enggan membenarkan kami mendekatinya (kereta),” kata Cheong Yuen Yee, 36, yang terkandas apabila masih gagal menuntut kereta miliknya yang diletak di kawasan letak kereta Hotel Lee Garden Plaza, di sini.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarganya baru mendaftar masuk ke hotel berkenaan sebelum kejadian letupan bom berkenaan tercetus menyebabkan dua rakyat Malaysia maut manakala 10 lagi cedera.


Katanya, mereka kini tidak dapat pulang ke Teluk Intan, Perak, sehingga mengetahui nasib kenderaannya yang diletakkan di aras B2 tempat letak kereta hotel berkenaan.

“Kami datang dengan kereta Proton Wira yang diletak di tingkat dua hotel yang menjadi tempat penginapan kami sekeluarga.


”Akibat kejadian itu, saya bersama keluarga terpaksa menunggu untuk tempoh yang tidak diketahui kerana tidak dibenarkan untuk mengambil kenderaan terbabit,” katanya.


Sementara itu, Azihan Abdullah Zawawi, 32, dari Kota Bharu, Kelantan, berkata kereta Proton Saga miliknya menerima nasib sama kerana masih gagal dituntut. “Kami tidak tahu bagaimana keadaan kenderaan, malah tidak dimaklumkan langsung oleh pihak berkuasa Thailand.

“Bayaran pampasan yang akan dibayar kepada lebih 20 pemilik kereta serta empat pemilik motosikal daripada Malaysia masih samar-samar dan belum dapat dipastikan kesahihannya. Ia amat dialu-alukan jika benar bayaran dibuat bagi kerosakan kenderaan kami,” katanya.


Jeneral Polis Pelancong Thailand, Worapong Chewprecha berkata, mereka masih belum memutuskan tarikh untuk mengangkut kenderaan yang musnah dalam letupan di Hotel Lee Garden di sini, Sabtu lalu.

Katanya, ini kerana usaha mengeluarkan lebih 500 motosikal di kawasan parkir hotel berkenaan memerlukan masa.


“Setakat ini, kami belum dapat memastikan tarikh tepat mengeluarkan kereta yang mengalami kerosakan teruk berikutan kawasan berkenaan belum dibersihkan dan masih bahaya.


“Namun, kami maklumkan kepada pemilik kereta apabila tiba masanya,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: